suria

Kedah tempang tanpa empat tonggak

KEDAH terpaksa mengharungi aksi Piala Malaysia musim ini tanpa khidmat empat tonggak utama mereka yang dipanggil bagi memperkuatkan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.

Pemain yang terlibat ialah Baddrol Bakhtiar, Ifwat Akmal Che Kassim, Rizal Ghazali dan Akhyar Rashid.

Baddrol dan Rizal merupakan pemain lebih umur yang akan melengkap kuota bagi kategori tersebut.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof berkata, pemain berkenaan hampir pasti tidak dapat bersama skuad helang merah kerana terlibat dalam persediaan dan aksi penting pasukan negara dalam sukan Asia.

“Sudah pasti ketiadaan empat tonggak utama akan dirasai tetapi berita baiknya, kita mendapat menggunakan kembali khidmat Liridon Krasniqi dan Paolo Ranggel yang dapat bersama kita untuk menentang Kelantan di Stadium Darul Aman pada Ahad.

“Walaupun Andik Vermansah sudah mula menjalani latihan bersama kita minggu ini, namun pemain dari Indonesia ini memerlukan sedikit lagi masa untuk beraksi dengan keupayaan sebenarnya dan dia pasti tidak akan beraksi pada perlawanan bertemu Kelantan,” katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam menambah, selain empat pemain itu dan Andik, baki pemain lain berada dalam keadaan bersedia untuk memulakan aksi Piala Malaysia kali ini.

“Saya yakin dengan kehadiran Liridon dan Ranggel serta Sandro Da Silva dan Alvaro Silva kita mampu memastikan tiga mata menjadi milik Kedah.

"Kelantan telah membuktikan kemampuan mereka untuk mengecewakan kita ketika beraksi pada Liga Super musim ini di Stadium Darul Aman, oleh itu pemain perlu memberi sepenuh perhatian sepanjang permainan," ujarnya.

Beliau berkata, sokongan penyokong Kedah dalam perlawanan kali ini bakal membakar semangat pemain untuk memastikan permainan berkahir dengan kemenangan berpihak kepada skuad tuan rumah.

Kedah, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain