suria

Kedah setuju lepas 3 tonggak utama

Mohd Ifwat Akmal.

PETALING JAYA: Skuad Hijau Kuning setuju melepaskan tiga tonggak utamanya yang dipanggil untuk memperkuat pasukan Bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan.

Pengurus Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin berkata, Mohd Ifwat Akmal, Baddrol Bakhtiar dan Mohd Rizal Ghazali akan melapor diri bagi latihan pusat pada 30 Julai ini.

"Kedah sentiasa komited dalam melepaskan pemain bagi tugasan antarabangsa.

"Perkara ini bukanlah perkara baru sejak turun temurun pemain skuad Hijau Kuning sentiasa mendapat panggilan mewakili Harimau Malaya dalam kejohanan antarabangsa dan kita sentiasa memberi kerjasama dalam memastikan tugasan negara diutamakan," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Menurut Syed Khairul, ketiga-tiga pemain itu akan terlepas tiga atau empat perlawanan kumpulan Unifi Piala Malaysia.

"Seorang pemain lagi iaitu Muhd Akhyar Rashid dalam panggilan simpanan dan masih dalam tempoh pemulihan," katanya.

Baddrol Bakhtiar.

Meskipun beraksi tanpa kelibat tiga tonggak utama itu, Syed Khairul menarik nafas lega dengan prestasi memberangsangkan pemain muda skuad Kedah.

"Beberapa perkembangan pemain muda yang memberangsangkan sebelum ini memberi sedikit kelegaan kem negeri bagi menampung ketiadaan pemain utama.

"Sesiapa sahaja yang diberi tanggungjawab mampu melakukan tugasan dengan sebaiknya buat skuad Hijau Kuning," katanya.

Baru-baru ini, Kim Swee meluahkan rasa bimbangnya hingga kemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Asia andai terus dibelengu kekusutan isu pelepasan pemain untuk mereka mengharungi kempen Piala Malaysia.

Jurulatih skuad B-23 tahun itu tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal untuk mengumpulkan pemain yang cukup untuk mengharungi kejohanan terbabit.

Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan Piala Malaysia.

Selain Kedah, tiga lagi pasukan Liga Super iaitu JDT, PKNS FC dan Kuala Lumpur setuju melepaskan pemain mereka untuk temasya tersebut.

skuad hijau kuning, Sukan Asia, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain