suria

Hoki: Kumar bebas hukuman penggantungan sementara

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal (tengah) bergambar selepas sidang media di Ibu Pejabat KHM Bukit Jalil hari ini. Turut hadir Timbalan Presiden Kanan KHM Datuk Dr S Shamala (dua, kiri), jurulatih hoki negara Stephan Van Huizen (kanan) dan penjaga gol skuad hoki negara S Kumar (tiga, kiri). -Bernama

KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar yang bebas daripada hukuman penggantungan sementara selama enam bulan susulan kes doping, berazam untuk lebih agresif dalam usahanya merebut kembali tempat dalam skuad kebangsaan.

Kumar, 38, berkata meskipun memiliki pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa, tempoh enam bulan tanpa sebarang aksi dan latihan khusus bersama skuad kebangsaan ternyata memberi kesan terhadap prestasinya.

“Saya hanya berlatih sendiri sepanjang tempoh penggantungan dan ia amat berbeza jika dibandingkan dengan berlatih bersama pasukan. Saya mungkin mempunyai pengalaman tetapi fizikal saya perlu lebih kuat untuk membolehkan saya kembali semula dalam pasukan.

“Orang akan fikir saya tidak perlu bekerja keras dan hanya bersandarkan pengalaman untuk kembali bersama pasukan tetapi saya bukan individu seperti itu. Saya perlu kerja keras kerana bukan senang untuk dapatkan semula sentuhan selepas tidak beraksi dalam satu tempoh yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang turut disertai presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal bagi mengumumkan keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menggugurkan hukuman penggantungan sementara berkenaan.

Kumar yang mempunyai 295 cap antarabangsa sebelum ini digantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun selepas didapati positif Sibutramine ketika mewakili negara pada Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lepas.

Bagaimanapun, hukuman tersebut digugurkan FIH pada Rabu lepas tanpa Kumar perlu menghadiri sesi pendengaran selepas FIH memutuskan bahan yang digunakan beliau tidak mempengaruhi peningkatan prestasinya.

Mengulas mengenai perkembangan positif itu, Kumar berkata selepas ini beliau mahu lebih berwaspada terhadap pemakanannya selain turut berharap perkara sama tidak akan berulang kepada dirinya mahupun atlet kebangsaan lain.

“Bila terpalit dengan kes ini, ramai orang tanya dan saya sendiri tidak sangka perkara ini boleh terjadi kepada saya. Selepas ini saya perlu lebih menjaga dan periksa lebih lanjut apa sahaja makanan tambahan yang diambil.

“Bukan senang untuk atlet jaga pemakanan dan isu ini menjadi satu pengajaran yang amat berharga bukan sahaja kepada saya, tetapi juga untuk semua atlet negara,” katanya.-Bernama

S.Kumar, Hoki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut