suria

Perasaan berdebar banding sepakan penalti nak kahwin Rody

Niena dan Rody bertunang pada November tahun lalu.

PETALING JAYA: Penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan Nur Izwani Azman bakal menamatkan zaman bujangnya dengan pemain gitar kumpulan Kristal, Rody atau nama sebenarnya, Mohd Rodi Baharudin.

Nur Izwani atau lebih disapa sebagai Niena Azman mengakui berdebar menanti hari istimewa itu selepas setahun menyulam cinta dengan jejaka berusia 32 tahun berkenaan.

Malah Niena menyifatkan debaran itu jauh lebih 'hebat' berbanding perasaan gemuruhnya semasa menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol selama 13 tahun.

"Perasaan itu lagi nervous daripada nak tunggu sepakan penalti. Kalau penalti saya dah tau nak buat apa... ada cara dia, tapi kalau kahwin ni debaran dia lain macam.

"Kita juga kena pakai cantik-cantik, kena make up. Saya ni pula jenis yang jarang bersolek, itu yang buat saya lagi berdebar," katanya kepada mStar Online.

Jelas Niena, persediaan untuk hari bersejarah itu berjalan dengan lancar dan hampir siap.

"Alhamdulillah saya boleh katakan sudah 80 peratus siap, semuanya dipermudahkan dan berharap agar keadaan ini kekal sehingga hari bahagia itu nanti," katanya.

Niena berdebar menanti hari bahagianya.

Ditanya mengenai konsep untuk majlis pernikahannya, Niena berkata tiada tema tertentu ditetapkan.

Sebaliknya mereka memilih warna hitam dan gold (keemasan) untuk pakaian yang akan digayakan pada hari bersejarah itu nanti.

"Kita tak ada konsep khas tapi hitam dan gold (keemasan) akan jadi warna tema pakaian kami nanti. Warna tersebut melambangkan perwatakan sebenar kami.

"Hitam sebab Rody 'rock' dan saya pula aktif bersukan. Gold (keemasan) pula melambangkan sisi lain kami iaitu keistimewaan kami yang orang lain tak nampak selama ini," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai hari bahagianya, Niena berkata majlis pernikahan akan diadakan di sebuah hotel di Kulai, Johor selepas solat Isyak, Jumaat depan manakala majlis persandingan pula berlangsung di sebuah dewan keesokan harinya.

"Untuk akad nikah, ia akan dihadiri ahli keluarga dan rakan rapat sahaja. Namun  peminat dijemput untuk memeriahkan lagi majlis persandingan kami pada Sabtu depan," katanya.

Niena akan terus aktif dalam sukan fustal selepas berkahwin.

Ketika ditanya sama ada dia akan terus aktif bermain futsal selepas bergelar isteri, Niena berkata Rody tidak pernah menghalang minatnya terhadap sukan bola sepak.

"Rody tak ada masalah sebab dia dah sedia maklum mengenai minat saya. Dia amat memahami dan sentiasa menyokong apa yang saya lakukan," katanya.

Niena berkata majlis pernikahan dan persandingan mereka kelak akan turut diserikan dengan lagu 'Lukisan Cinta' ciptaan mereka berdua yang menceritakan mengenai kisah percintaan mereka.

"Rody pernah kata nak buat lagu untuk saya. Dia cipta melodi dan suruh saya gubah lirik lagu itu. Agak mencabar juga nak siapkan lirik itu sebab saya tak ada pengalaman. Namun saya lega kerana ia akhirnya dapat disiapkan dalam masa sebulan," katanya.

Niena Azman, Rody

Artikel Lain