suria

Peransang Selangor penaja utama bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor)) sekali lagi menjadi penaja utama Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari 2018 yang bertujuan untuk mengenal pasti dan mencungkil  bakat baharu pemain bola sepak  remaja untuk diketengahkan sebagai pemain negeri dan nasional.

Kejohanan tahunan bola sepak bawah 18 tahun itu yang bermula 14 April lepas menyaksikan 576 pemain mewakili 32 pasukan dari sembilan daerah di seluruh Selangor beraksi bagi merebut kejuaraan itu yang diperkenalkan sejak 2014.

Bagi kejohanan tahun ini Perangsang Selangor memberikan  komitmen penajaan berjumlah RM150,000 iaitu penajaan tahunan kelima berturut-turut, iaitu sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk membantu mengembalikan kegemilangan pasukan Selangor dalam arena bola sepak negara.

Pengerusi Jawatankuasa Induk kejohanan itu, Datuk Emran Kadir berkata kejohanan itu pada tahun-tahun sebelum ini memberikan hasil positif apabila ramai pemain baharu dikenalpasti dan kini beraksi untuk beberapa pasukan bola sepak berstatus kelab  dan negeri.

“Lebih membanggakan menerusi kejohanan tahun lalu, 38 pemain telah diikat beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab antaranya Selangor, PKNS, Johor Darul Takzim, Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. Malah dua daripada pemain berkenaan telah diserap ke pasukan bawah 19 tahun kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, kejohanan itu dirasmikan Sabtu lepas oleh Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim di Padang Stadium Mini Kementerian Pelajaran Malaysia, Sekolah Kebangsaan Menengah USJ 23, Subang Jaya.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin (barisan belakang, pertengahan) dengan juara Piala Datuk Mokhtar Dahari 2017, SMK Dato Harun pada tahun lalu.

Turut  hadir ialah Pengarah  Bersekutu Perhubungan Awam, Media dan Tanggungjawab Sosial Korporat Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali.

Perangsang Selangor dalam  kenyataannya hari ini  mengumumkan bahawa Johan dan Naib Johan kejohanan masing-masing akan menerima wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM7, 000 serta pingat, sijil, piala iringan dan piala pusingan manakala tempat  ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000.  

Selain itu turut menjadi rebutan adalah anugerah Pemain Terbaik, Penjaring Gol Terbanyak, Penjaga Gol Terbaik serta Pasukan Penyokong Terbaik.

“Tahun ini penganjur turut  mengelola ‘Seminar Pengurusan Diri dan Masa Depan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia'. 

Ia bagi memberi pendedahan awal kepada jurulatih dan pemain bola sepak remaja Selangor mengenai kerjaya dan masa depan sukan berkenaan.” kata kenyataan itu.

Menurutnya kejohanan edisi 2018 masih mengekalkan penglibatan sekolah-sekolah dari 10 pejabat pendidikan daerah seluruh Selangor yang terpilih melalui Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD).

Perlawanan akhir akan berlangsung pada 12 Mei ini pukul 8 malam  di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain