suria

Kuzain makin menyerlah, lakar sejarah di AS

PETALING JAYA: Pemain muda berdarah Melayu-Kelantan, Wan Kuzain Wan Kamal mencipta sejarah baharu apabila bakal berentap dalam Major League Soccer (MLS) selepas menyarung jersi Sporting Kansas City (KC) pada Jumaat.

Ini bermakna, Kuzain yang terkenal dengan jolokan 'Messi Amerika' muncul anak Malaysia pertama beraksi pada saingan liga bola sepak profesional di Amerika Syarikat (AS) itu.

Pemain tengah berusia 19 tahun itu dilahirkan di Carbondale, Illinois AS, bagaimanapun ibu bapanya adalah rakyat Malaysia.

Kuzain menandatangani kontrak bersama Sporting KC selaku pemain tempatan sehingga 2020 dengan diberi pilihan untuk melanjutkan kontraknya pada 2021 dan 2022.

Ketika ini Sporting KC menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 13 mata, manakala LA Galaxy, pasukan yang disertai bekas bintang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic di tempat keempat.

Pengurus Sporting KC, Peter Vermes menyifatkan Kuzain yang juga produk akademi bola sepak kelab tersebut sebagai pemain yang berbakat dan mempamerkan prestasi luar biasa.

"Dia mempunyai pemahaman yang sangat baik tentang peranannya dalam corak permainan kami. Jadi tidak mustahil dia layak beraksi di peringkat lebih tinggi.

Kuzain pemain muda berbakat.

"Sebagai seseorang yang mempunyai sikap dan mental yang kuat, Kuzain menonjolkan nilai teras yang wajar dimiliki sebuah kelab. Dia mempunyai masa depan yang cerah," kata Vermes dalam satu kenyataan.

Kuzain menyertai akademi Sporting KC pada Ogos 2016 dan menandatangani kontrak akademi bersama Swope Park Rangers pada tahun sama.

Dia kemudiannya menandatangani kontrak profesional bersama pasukan berkenaan pada 2017 sebelum sah menyarung jersi Sporting KC pada Jumaat.

Sementara itu, Kuzain turut berkongsi berita gembira tersebut dengan pengikutnya di laman Instagram.

"Sesuatu yang sempurna. Syukur kerana menyertai Sporting KC. Perjalanan diteruskan," tulisnya.

Nama pemain remaja ini menjadi sebutan di negara ini selepas menjulang kejuaraan USL Western Conference bersama Swope Park Rangers selepas membenam OKC Energy menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selama 120 minit dalam aksi final, 4 November tahun lalu.

Kuzain adalah watak penting dan tulang belakang kepada kebangkitan pasukan itu.

Dia turut pernah beraksi bersama skuad bawah 17 tahun (B-17) AS dua tahun lalu.

Wan Kuzain, MLS

Artikel Lain