suria

Sukan Komanwel: Ratu lari berpagar dunia tarik diri

GOLD COAST: Juara dunia lari berpagar Sally Pearson secara rasmi menarik diri daripada temasya Sukan Komanwel 2018 di sini susulan kecederaan pada Achilles.Atlet Australia berusia 31 tahun itu yang juga juara Olimpik 2012 membuat pengumuman itu hari ini.

“Saya telah lakukan segala yang saya mampu untuk bertanding bagi Australia. Saya berkeyakinan penuh semasa melakukan latihan pemanas badan (dua hari lepas).

“Saya lakukan latihan berpagar dan tidak mampu teruskannya. Kecederaan sebegini boleh menjadi buruk dengan cepat. Sungguh malang kerana berlaku sekarang namun kesihatan saya lebih penting,” katanya yang dipetik berkata demikian menerusi laman sesawang rasmi www.gc2018.com pada Khamis.

Pearson yang mengakui  amat sedih kerana terpaksa melepaskan peluang bersaing di laman sendiri juga berkata beliau lebih mengutamakan kesihatannya selain mahu memastikan dapat bertanding di Olimpik Tokyo 2020.

Pearson yang juga Duta Sukan Komanwel Gold Coast  merupakan juara dunia 2011 dan 2017 serta pemenang emas Olimpik 2012 dalam 100 meter lari berpagar.

Beliau  meraih perak dalam acara sama pada Olimpik 2008 dan Kejohanan Dunia 2013.

Pearson memainkan peranan  utama dalam upacara perasmian temasya malam tadi apabila diberi penghormatan menyerahkan ‘Queen's Baton'  kepada Putera Charles.-Bernama

Sukan Komanwel, Sally pearson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain