suria

Azroy hadiahkan pingat emas sulung negara

GOLD COAST: Pingat emas pertama negara yang diraih oleh atlet angkat berat, Azroy Hazal  Wafie Izhar Ahmad menjadi penyuntik semangat dan permulaan positif kepada kontinjen Malaysia untuk terus memburu kejayaan.

Ketua kontinjen  negara ke Sukan Olimpik 2018 di Gold Coast, Australia, Huang Ying How berkata kejayaan itu mampu menyuntik rangsangan kepada atlet lain untuk mempamerkan aksi terbaik mereka pada acara seterusnya nanti.  

“Saya percaya ini merupakan rangsangan kepada atlet lain untuk berjaya. Kita masih ada atlet beraksi untuk rebut pingat petang ini, saya harap permulaan yang cemerlang ini dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan aksi Azroy Hazal Wafie di Carrara Sports and Leisure Centre, di sini pada Khamis.

Huang turut mengucapkan tahniah kepada skuad angkat berat negara, terutamanya kepada Azroy Hazal Wafie, jurulatihnya Wang Zhi Quan dan juga pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim kerana telah mengharumkan nama negara.  

“Kita memang jangka bahawa Azroy Hazal Wafie mampu sumbang pingat kerana dia merupakan pemain pilihan kejohanan dan apabila dia mula pecahkan rekod kejohanan, kami pasti pingat emas jadi milik Malaysia,” katanya. - Bernama

Sukan Komanwel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain