suria

KLFA Yakin Persiapan Permohonan Lesen Kelab FAM Lancar

Wakil delegasi FAM (kiri) ketika hadir ke KLFA beberapa hari lalu.Foto: FAM

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yakin akan melengkapkan dokumen bagi mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk musim depan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa memberitahu, kehadiran wakil FAM beberapa hari lalu adalah untuk melihat sejauh mana persiapan pasukan Kuala Lumpur dalam melengkapkan kriteria yang ditetapkan.

"Mereka (FAM) datang melawat ke sini untuk melihat perkembangan persediaan KLFA serta memberi panduan supaya apa yang diperlukan berjalan lancar.

"Memandangkan kita sudah mempunyai lesen kelab musim ini, jadi tidak banyak yang perlu dilakukan, cuma penambahbaikan beberapa kriteria yang baharu ditetapkan.

"Ia berkaitan dengan kriteria infrastruktur, kesukanan, kewangan, perundangan, personal dan pentadbiran serta perniagaan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Jelas Nokman, separuh daripada dokumen sudah lengkap.

"Hampir 51 peratus kita sudah sediakan. Pada 8 Mac ini kami akan menghantar dokumen berkaitan pengurusan terlebih dahulu.

"Manakala dokumen seterusnya pada 30 Mac ini. Tarikh tutup keseluruhannya pada Julai ini dan ianya lebih kepada laporan kewangan," tambahnya.

Sebelum ini pihak FAM yang diwakili Pengurus Pelesenan Kelab, Andrew Soorian dan Penolong Pengurus Pelesenan Kelab, Vijash Naidu telah melawat KLFA bagi memberi nasihat kepada penyediaan dokumen.

Semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia 2019 memerlukan Lesen FAM dan Lesen AFC.

Bagaimanapun, kesemua pasukan ini perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personal, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 terlebih dahulu sebelum membolehkan mereka diberi lesen.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu semua pasukan Liga Super telah  memohon Lesen Kelab AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara AFC 2019, jika layak kecuali Pahang.

Pasukan Liga Super berkenaan ialah Kedah, Perak, PKNP FC, Selangor, PKNS FC, Negeri Sembilan, Melaka United, Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pahang.

Pasukan Liga Premier terdiri daripada Pulau Pinang, Felda United FC, PDRM, UiTM FC, MIFA, Kuantan FA, Felcra FC, Sabah, Sarawak dan UKM FC.

KLFA, Lesen Kelab, FAM

Artikel Lain