suria

Kedah, PKNS FC Mara Ke Pusingan Ketiga Piala FA

PKNS FC turut mara ke pusingan ketiga dengan menewaskan Henelang FC.

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Kedah dipaksa bekerja  keras sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan pada aksi  pusingan kedua Piala FA 2018 Jumaat malam sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan ketiga saingan berkenaan.

Kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar muncul wira skuad Lang Merah apabila  meledak gol kemenangan pada minit ke-119 selepas skuad kendalian Ramon Marcote menemui jalan buntu dalam usaha mendapatkan gol sepanjang tempoh permainan sebenar.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu, barisan pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai penjaga golnya, Muhammad Ilham Amirullah Razali wajar diberikan pujian selepas mempamerkan kesungguhan dalam mengekang asakan bertali arus Kedah.

Namun, nasib ternyata tidak berpihak kepada skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu apabila hantaran Andik Vermansah di penghujung babak kedua masa tambahan gagal ditampan kemas pertahanan pasukan pelawat sebelum Baddrol mudah menolak masuk bola untuk memberi kemenangan kepada Kedah.

Mengiringi Kedah ke pusingan ketiga adalah finalis edisi 2016, PKNS FC setelah menundukkan pasukan daripada Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hanelang FC 4-1 di Stadium Shah Alam.

Penyerang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Muhammad Jafri Muhd Firdaus Chew meletakkan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal di hadapan seawal minit kesembilan, namun pasukan pelawat pantas menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Munawar Shavukath Ali pada minit ke-12.

Pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo Morales Ramirez kembali meletakkan 'Red Ants' di hadapan pada minit ke-38 sebelum dua pemain gantian Rafael Ramazotti De Quadros dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan meledak gol pada minit ke-57 dan 70 untuk mengesahkan kemenangan 4-1 PKNS FC.

Sementara itu, di Stadium UiTM Shah Alam menyaksikan pasukan UiTM FC mudah mengatasi Perlis 3-0 hasil dua jaringan penyerang import dari Ivory Coast Bakary Dao pada minit ke-10 dan ke-60 sebelum pemain gantian Muhammad Asnan Awal Hasim meledak gol ketiga UiTM FC pada minit ke-87.

Pada masa sama, Kelantan di bawah bimbingan ketua jurulatih sementara, Yusri Che Lah turut mencipta kemenangan selepas menewaskan Terengganu City FC 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru.

Gol Kelantan dijaringkan penyerang import Cassio Francisco de Jesus pada minit ke-24 sebelum pemain gantian Shafiq Shaharudin mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-74.- Bernama

Piala FA, Kedah, PKNS FC

Artikel Lain