suria

Zhuliang Tak Manfaat Sains Sukan

KUALA LUMPUR: Tindakan ketua jurulatih terjun negara dari China, Yang Zhuliang yang tidak memanfaatkan sains sukan menjadi punca kontraknya tidak disambung.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Zabidi menegaskan keputusan untuk tidak menyambung kontrak Zhuliang  yang akan berakhir pada 31 Disember ini dicapai dengan persetujuan Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum).

"Ini bukan keputusan saat akhir kerana perbincangan dilakukan sejak tiga bulan lalu."Kami mendapati teknik kejurulatihan Zhuliang 'sudah lapuk' dan dia tidak berminat dengan sains sukan.

"Jika kita mahu mencapai hasil lebih baik, kita perlu menerapkan sains sukan. Tidak dinafikan cara latihan Zhuliang telah menghasilkan pingat Olimpik dan juara dunia tetapi kita perlu meningkatkan prestasi atlet terjun negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Kami turut menasihatinya supaya menerapkan sains sukan tetapi dia merasakan caranya lebih baik," kata Azim.

ISN sudah mengenal pasti pengganti Zhuliang tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

"Dia bukan dari Asia tetapi ada pengalaman secukupnya untuk melatih skuad elit.

"Kami akan mengumumkan jurulatih baharu selepas kontraknya ditandatangani secara rasmi. Dia hanya bersetuju secara lisan untuk menjadi jurulatih. Jika segalanya berjalan lancar, dia akan mulakan tugasnya bulan depan.

"Buat masa ini, Zhang Yukun akan bertindak sebagai pemangku ketua jurulatih," kata Azim.

Azim berkata persediaan penerjun negara pada kejohanan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia (Jakarta) pada Ogos tidak akan terjejas.

"Program latihan sudah pun dimulakan," katanya.

Yang Zhuliang, ISN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain