suria

Ginney Chew Dedah Pesaing Utama Kedah Musim Depan

Ginney (kanan) bersama jurulatih Marcote selepas majlis tanda tangan kontrak bersama KFA pada Selasa.

PETALING JAYA: Penaja utama pasukan Kedah, ECK Sdn Bhd berkongsi kegembiraan apabila niatnya untuk membawa jurulatih Ramon Marcote akhirnya menjadi kenyataan.

Jelas pengarahnya, Puan Sri Ginney Chew, kegembiraan ini adalah untuk penyokong-penyokong setia Helang Merah.

"Saya hargai sokongan semua penyokong. Selepas jurulatih Marco mai, saya harap bola sepak Kedah makin bertambah baik.

"Semua peminat bola sepak Kedah akan terus setia menyokong pasukan.

"Demi bola sepak Kedah, saya juga harap semua penyokong memberi sokongan kepada presiden Datuk Seri (Ahmad Bashah Md Hanipah) kerana beliau sudah mencuba yang terbaik memenuhi permintaan anda semua," ujarnya kepada mStar Online.

Ginney (dua kiri) bersama Tan Sri Dr Khor Eng Chuen pada majlis tandatangan kontrak bersama Presiden KFA, Ahmad Bashah (4 dr kanan)

Dalam pada itu usahawan berusia 39 tahun ini mengakui beliau tidak sabar untuk melihat Kedah beraksi musim depan.

"Saya mahu lihat trofi Liga Super berada di Kedah serta lain-lain trofi.

"Bola sepak ini sudah menjadi 'passion' hidup saya. Saya yakin Kedah sebuah pasukan yang bagus dan dapat bersaing dengan kelab JDT (Johor Darul Ta'zim).

"JDT sahaja kelab pesaing utama Kedah. Pun begitu kita perlu berwaspada dengan pasukan lain juga," jelas wanita kelahiran Kulim, Kedah itu.

Mengenai nilai tajaan kepada KFA, Ginney enggan mendedahkannya buat masa sekarang.

"Awal Januari ini akan ada majlis menandatangani pemain, dan mungkin ia akan diumumkan.

"Ketika ini kita masih melengkapkan kontrak hitam putih dengan KFA," ujarnya ringkas.

Untuk rekod, bulan lalu, Ginney mengambil langkah mendapatkan maklum balas dan mendengar kehendak penyokong mengenai pemilihan jurulatih baharu.

Ginney memuat naik status untuk membawa Marcote sebagai jurulatih Kedah yang baharu untuk saingan musim depan.

Status tersebut mendapat maklum balas yang positif sebelum beliau berbincang lebih lanjut dengan KFA mengenai hasratnya itu.

Ginney Chew, KFA, Marcote

Artikel Berikut

Luke Shaw Mahu Harga Sendiri

Artikel Lain