suria

Farhan Kekal Bersama TRW

Mohd Nor Farhan Muhammad.

PETALING JAYA: Teka-teki masa depan penyerang prolifik Kelantan,  Mohd Nor Farhan Muhammad bersama pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia yang semakin kompetitif musim depan akhirnya terjawab.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan mengesahkan Farhan bersetuju untuk memperbaharui kontraknya bersama TRW selama semusim.

"Segala teka-teki mengenai masa depannya sudah terjawab hari ini. Dia akan kembali memperkuat Kelantan musim depan. 

"Saya harap dia dapat membimbing pemain pelapis yang akan beraksi bersamanya dan bergandingan dengan Piya (Mohd Badhri Radzi) dalam saingan Liga Super nanti," katanya kepada mStar Online.

Farhan (tengah) selepas menandatangani kontrak baharu bersama TRW.

Usahawan batik yang berpangkalan di Kota Bahru itu turut berharap agar Farhan kembali ke prestasi terbaiknya selepas pulih daripada kecederaan serius.

"Saya lihat dia pun dah semakin pulih. Tak salah jika beri dia peluang untuk beraksi penuh. Saya harap agar dia dapat buktikan semula kemampuannya," kata Bibi.

Farhan kembali menyertai Kelantan pada musim 2015 tetapi dia bergelut dengan kecederaan teruk sehingga memaksanya berehat selama tiga bulan.

Malah, pemain berusia 33 tahun itu direhatkan sepanjang musim 2016 sebelum kembali beraksi musim ini dengan bermain penuh dalam enam perlawanan sahaja.

Selain Farhan, bagi musim 2018, Kelantan turut akan diperkuat Piya yang bersetuju untuk terus kekal bersama Kelantan bagi tempoh setahun lagi.

Malah, Kelantan turut mempertaruhkan khidmat bekas pemain tengah Selangor, S Veenod dan pemain import Korea Selantan, Do Dong-hyun yang sah menyarung jersi pasukan itu selama dua tahun baru-baru ini.

TRW, Mohd Nor Farhan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Piala AFC: PBNP Kunci Mulut

Artikel Lain