suria

Seavmey, Sreymom Meriahkan Larian Baton Di Phnom Penh

KUALA LUMPUR: Kehadiran jaguh taekwondo, Sorn Seavmey dan juara dunia petanque Kemboja, Ouk Sreymom memeriahkan pusingan kelapan Larian Baton Bangkit Bersama sejauh 10 kilometer yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada Sabtu.

Larian yang melalui beberapa tempat ikonik dan bersejarah seperti Tugu Kemerdekaan dan Stadium Olimpik di Charles de Gaulle Boulevard itu berjaya menarik 5,000 peserta yang terdiri daripada kalangan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan menyifatkan penganjuran larian yang julung kali diadakan bersempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu adalah antara yang terbaik.

“Larian Baton di Kemboja merupakan satu kejayaan yang memuaskan. Secara keseluruhannya, kami bangga dan berpuas hati dengan semua negara dalam menjayakan acara bersejarah ini.

“Kesungguhan Kemboja kali ini sekali lagi menjadi bukti keutuhan semangat setiakawan serantau,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).

Turut hadir, Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong.

Pada larian tersebut, Saravanan menyerahkan baton kepada Menteri Pelajaran, Belia dan Sukan Kemboja, Dr Hang Chuan Naron sebagai simbolik perasmian.

Chuan Naron kemudiannya menyerahkan baton kepada Seavmey yang merupakan pelari pertama sebelum diteruskan atlet paralimpik, Van Vun yang juga pembawa bendera bagi kontinjen Kemboja di Sukan Paralimpik Rio tahun lalu.

Turut menyertai larian tersebut ialah dua atlet petanque yang merupakan bekas juara dunia iaitu Ker Leng dan Sok Chan Mean serta atlet gusti wanita, Zhou Sotheara dan atlet chinlone, Eung Narith.

Di akhir larian, Saravanan menyerahkan baton kepada Duta Indonesia ke Kemboja, Pitono Purnomo. Larian Baton peringkat kesembilan akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 30 April ini.

Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran temasya, baton menjelajah ke semua negara Asia Tenggara dengan Singapura menjadi destinasi terakhir pada 13 Mei nanti sebelum bermulanya Larian Obor ke seluruh negara pada 14 Mei.

Larian BAton, Kemboja

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

De Gea Mahu Jual Rumah

Artikel Lain