suria

80 Atlet Singapura Lepasi Kelayakan Had Sukan SEA

SINGAPURA: Kira-kira 840 atlet telah melepasi had kelayakan yang ditetapkan Majlis Olimpik Singapura (SNOC) untuk mewakili republik ini di Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, Ogos ini, lapor Channel NewsAsia.

Angka itu dijangka dikurangkan apabila persatuan sukan kebangsaan membuat pemilihan terakhir untuk mengesahkan penyertaan atlet mereka.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan, laporan itu menyebut ia adalah senarai awal atlet yang layak daripada 34 jenis sukan yang dikemukakan persatuan sukan kebangsaan untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Pemilihan SNOC yang dipengerusikan Presiden SNOC, Tan Chuan-Jin yang juga Menteri  Sosial dan Pembangunan Keluarga.

Atlet yang belum melayakkan diri diberi tempoh sehingga pertengahan Jun ini untuk melepasi kriteria kelayakan iaitu catatan pemenang tempat ketiga pada Sukan SEA lepas, demikian menurut SNOC.

Sebarang rayuan akan dipertimbangkan pada 15 Jun ini, tambah kenyataan itu.

“Sukan SEA ke-29 akan berlangsung Ogos ini dengan 405 acara diadakan daripada 38 jenis sukan. Sukan seperti kriket, hoki ais dan luncur ais akan diadakan untuk kali pertama tahun ini dan atlet Singapura dalam sukan ini berjaya membuktikan kemampuan pada percubaan pertama mereka.,” lapor SNOC.

Pada Sukan SEA ke-28 yang diadakan di republik ini, tuan rumah menampilkan 747 atlet iaitu jumlah terbesar pernah mewakili Singapura dalam satu temasya besar.

Pada temasya itu, Singapura mengutip 84 pingat emas, 73 perak dan 102 gangsa.Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos dan ini adalah kali keenam temasya sukan terbesar Asia Tenggara diadakan di Malaysia selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Sukan SEA, Singapura

Artikel Berikut

Ini Azam Zachary Anderson!

Artikel Lain