suria

Liga Juara-Juara: Juventus Ranap Impian Barca

Sebahagian pemain Juventus meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Barcelona dalam perlawanan suku akhir kedua, awal pagi Khamis. Juventus mara dengan agregat 3-0. - fotoREUTERS

BARCELONA kecewa di tangan Juventus apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara yang berlangsung awal pagi Khamis.

Keputusan tersebut sekali gus melayakkan Juventus mara ke separuh akhir dengan agregat 3-0 dan Barca tersingkir dalam saingan liga musim ini.

Juventus sudah unggul dengan jaringan 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Juventus, Itali. Kemenangan itu diperolehi melalui dua gol oleh Paulo Dybala dan satu gol Giorgio Chiellini.

Seperti perlawanan pada suku akhir pertama, Barcelona juga mampu mendominasi permainan dalam perlawanan kedua di Stadium Camp Nou.

Malangnya, barisan pertahanan Juventus yang dikawal Chiellini dan Leonardo Bonucci terlalu kebal untuk dibolosi Barcelona.

Statistik perlawanan mencatatkan Barcelona berjaya menguasai bola sebanyak 61 peratus berbanding lawan, tetapi peluang yang mereka dapat sangat minimum di mana hanya ada satu tendangan saja yang mengarah tepat ke gawang.

Sebaliknya Juventus yang mengusung strategi bertahan dan melakukan serangan balik lebih banyak mendapat peluang keemasan dengan tiga usaha pasukan ini berjaya tepat ke sasaran.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada penjaga gawang tuan rumah Marc Stegen yang konsisten menjaga gawang daripada dibolosi.

Jurulatih Barcelona Luis Enrique sempat mengganti Ivan Rakitic dengan Paco Alcacer pada babak kedua dalam usaha meningkatkan ketajaman serangan.

Namun, strategi itu masih belum cukup berkesan untuk mengkucar-kacirkan pertahanan Juventus yang 'bertaraf dunia'.

Neymar juga dilihat menjadi penyerang Barca yang paling kecewa saat berdepan Juventus keranan tendangannya sering tersasar.

Dia terpaksa melakukan aksi individu atau melakukan tendangan jarak jauh disebabkan pertahanan Juventus yang sangat kebal.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Juventus gagal menang dalam perlawanan di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Bagi Barca, ini merupakan kali pertama mereka gagal menang dalam 16 perlawanan di kandang sendiri di bawah Luis Enrique untuk liga sama.

Barca tidak pernah kalah di Camp Nou sejak September 2013, tetapi harus akur apabila tersingkir di suku akhir musim ini.

Dalam satu lagi perlawanan, AS Monaco turut menempah tempat beraksi di separuh akhir selepas mengalahkan pasukan tetamu, Borussia Dortmund.

Dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Louis II, tuan rumah menang 3-1 dan mara dengan agregat 6-3.

Tiga gol kemenangan Monaco diperolehi melalui Mbappe, Radamel Falcao dan V. Germain manakala gol Dortmund dijaringkan oleh Reus.

Liga Juara-Juara, suku akhir, Neymar

Artikel Sebelum

Serena William Disahkan Hamil

Artikel Berikut

Artikel Lain