suria

Ozil Hanya Jadi Legenda Jika Sambung Kontrak - Wenger

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger mencabar pemain bintangnya, Mesut Ozil untuk terus kekal bersama kelab itu dan menjadi legenda seperti Dennis Bergkamp.

Ozil yang kini tampil dengan prestasi terbaik, akan tamat kontrak pada 2018 dan masih belum menandatangani perjanjian baharu bersama Arsenal.

Wenger membandingkan Ozil dengan Bergkamp tetapi pemain itu hanya boleh diletakkan sebaris dengan pemain legenda Belanda itu jika kekal lebih lama.

"Dia (Ozil) mempunyai persamaan dengan Bergkamp. Saya fikir dia mampu menjadi legenda, dia bersama dengan Arsenal bagi tempoh yang lama.

"Bergkamp bermain untuk Arsenal sehingga berusia 38 tahun. Saya berharap Ozil boleh lagi berkhidmat untuk tempoh 10 tahun lagi.

"Untuk menjadi legenda di sesebuah kelab, anda perlu kekal lebih lama," katanya.

Berkenaan dengan kontrak baharu untuk Ozil, Wenger menjelaskan, pihaknya sedang berusaha ke arah itu dan dia yakin pemain berusia 28 tersebut akan setia bersama Arsenal.

"Kami masih membincangkan perkara itu.

"Jika mahu menjadi legenda seperti Bergkamp, tempoh dua tahun sahaja tidak mencukupi," katanya.

Difahamkan, Ozil dibayar gaji sebanyak 140,000 pound (RM725,204) seminggu dan mahu ditambah menjadi lebih 200,000 pound (RM1.03 juta) seminggu.

Arsene Wenger, Mesut Ozil, Arsenal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain