suria

Fellaini Mahu Penyokong Percayakan Mourinho

MAROUANE Fellaini menggesa penyokong Manchester United agar meletakkan kepercayaan Jose Mourinho kerana pengurus kelahiran Portugal itu pasti akan mengembalikan semula kegemilangan kelab.

Manchester United akan berkunjung ke Swansea pada Ahad dengan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu dan hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan liga.

Malah jurang skuad Mourinho untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara juga dipisahkan dengan tujuh mata sedangkan suku daripada jadual liga sudah berlangsung.

Situasi diburukkan lagi dengan kekalahan kepada Fenerbahce dalam saingan Liga Eropah pada awal pagi Jumaat, sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat terhadap kemampuan Mourinho mengemudi Red Devils ke landasan yang tepat.

Penyokong juga mempersoalkan keupayaan skuad Mourinho selepas dia membelanjakan 150 juta pound (RM777 juta) untuk membeli pemain termasuk bintang termahal dunia, Paul Pogba yang bernilai 89 juta pound (RM461 juta).

Namun kemelut yang melanda Manchester United tidak menggusarkan Fellaini, sebaliknya dia berkata, Mourinho masih merupakan pilihan yang tepat untuk menjadikan kelab itu digeruni semula.

Malah katanya, semua pemain meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Mourinho untuk menggalas tugas tersebut.

"Setiap pemain percaya kepada Mourinho, falsafahnya dan kami perlu mengikuti arahannya.

"Kami percaya kepadanya. Dia ke sini untuk menang. Dia merupakan pengurus yang memiliki motivasi dan itu yang kami perlukan.

"Tetapi untuk membina sebuah pasukan, masa amat diperlukan.

"Penyokong mahukan kemenangan dan permainan yang cantik, dan saya percaya detik-detik itu akan tiba," katanya.

Artikel Sebelum

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Berikut

Artikel Lain