suria

Toure Mahu Ejen Minta Maaf Kepada Guardiola

BARISAN tengah Manchester City bakal dimantapkan lagi dengan kehadiran Yaya Toure selepas pemain kelahiran Ivory Coast itu mahu mengakhiri ejennya, Dimitri Seluk persengketaan dengan pengurus kelab tersebut, Pep Guardiola.

Susulan pertelingkahan antara Seluk dan Guardiola sejak awal musim ini, Toure mengarahkan ejennya itu untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Malah Seluk mendedahkan, dia mahu berdamai dengan Guardiola bagi memastikan Toure dapat bermain semula untuk Manchester City.

"Saya telah berbincang dengan Toure beberapa hari lalu dan dia mahu saya berdamai dengan Guardiola.

"Saya bersetuju dengan kehendak dia dan akan memastikan hubungan kami berdua pulih.

"Ada penyokong Manchester City menghubungi Toure untuk memastikan isu ini selesai, begitu juga dengan pemain kelab itu," katanya.

Persengketaan antara Seluk dan Guardiola bermula apabila ejen tersebut mengecam tindakan pengurus baharu itu tidak menyenaraikan Toure dalam skuad Liga Juara-Juara pada September lalu.

Ekoran itu, Guardiola meminta Seluk memohon maaf kepadanya, tetapi ejen Toure enggan berbuat demikian, sekali gus menyebabkan pemain berusia 33 tahun tersebut dipinggirkan dari skuad utama Manchester City.

Toure tidak bermain untuk pasukannya sejak Manchester City menang ke atas Steaua Bucharest pada perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara pada Ogos lepas.

Minggu lalu, Guardiola memberi peluang kepada Toure untuk bermain dalam Piala Liga Inggeris ketika tewas kepada Manchester United jika Seluk tampil untuk memohon maaf.

Kini Toure hanya perlu menunggu ejennya itu melunaskan janji bagi menjernihkan semula keadaan.

Artikel Lain