suria

Gareth Bale Setuju Tawaran Kontrak Baharu Real Madrid

Gareth Bale
GARETH Bale bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan bersama Real Madrid sehingga tahun 2022 dalam perjanjian yang menjadikannya sebagai pemain yang mendapat bayaran termahal di dunia.

Bale bakal mendapat lebih dari £150 juta dalam tempoh enam tahun akan datang dalam bentuk gaji dan bonus, lapor The Guardian.


Kelab juara Eropah pada Ahad mengesahkan bahawa pemain antarabangsa Wales yang berusia 27 tahun itu sedia memberi komitmen kepada kelab yang disertainya pada September 2013 dengan bayaran perpindahan rekod dunia berjumlah £85 juta.

"Real Madrid CF dan Gareth Bale telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak pemain tersebut, yang mengikatnya bersama kelab sehingga 30 Jun 2022.

"Esok, Isnin pada pukul 1.30 petang, Gareth Bale akan muncul pada sidang media di bilik media Santiago Bernabeu," menurut kenyataan kelab.

Rundingan berhubung lanjutan kontrak telah berterusan selama beberapa bulan antara Real dan wakil Bale, Jonathan Barnett, dengan persetujuan akhirnya dicapai beberapa minggu lalu.

Difahamkan bahawa kontrak baharu itu bernilai lebih dari £600,000 seminggu, sebelum cukai dengan klausa pembelian yang ditetapkan pada nilai €1 bilion (£900 juta).

Jumlah itu dipercayai menjadi yang terbesar pernah ditandatangani dalam sejarah sukan ini.

Ia bersamaan sekitar £350,000 seminggu selepas cukai, lebih dari anggaran £288,000 yang dibayar Real kepada rakan sepasukannya Cristiano Ronaldo.

Rundingan mengenai kontrak baharu bagi pemain Portugal itu belum lagi dimuktamadkan.

Kontrak baharu itu menamatkan keraguan sebelum ini dan menyaksikan Bale akan kekal di Sepanyol di sebalik spekulasi dia akan kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Dia telah menjaringkan 50 gol dalam 90 perlawanan liga dan membantu Madrid menjulang lima trofi selama tiga tahun di kelab itu, termasuk memenagi Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016.

Bale menyertai rakannya, Luka Modric, Toni Kroos dan Lucas Vázquez yang telah memutuskan masa depan mereka untuk terus bersama kelab juara Eropah ini.

Artikel Lain