suria

Insiden Pergaduhan Cemari Kemenangan West Ham

INSIDEN kekecohan yang dicetuskan penonton di Stadium London mencemari kemenangan 2-1 West Ham ke atas Chelsea pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris, awal pagi Khamis.

Cheikhou Kouyate dan Edimilson Fernandes masing-masing menjaringkan gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-11 dan 48.

Tandukan cantik Kouyate meletakkan West Ham di depan sebelum Fernandes merembat masuk gol kedua, tiga minit selepas babak kedua bermula.

Eden Hazard dan Diego Costa diturunkan pada babak kedua ketika Chelsea bergelut untuk merapatkan kedudukan.

Namun, mereka hanya berupaya menjaringkan satu gol menerusi percubaan Gary Hill pada minit ke-90.

Antara penyokong yang cedera.

Kekecohan berlaku ketika perlawanan hampir tamat sehingga memaksa polis meleraikan penyokong kedua-dua pasukan.

Penyokong kedua-dua pasukan bertindak ganas apabila mencabut kerusi di tempat duduk penonton selain membaling duit syiling dan botol ke arah satu sama lain.

Insiden itu dianggap sebagai ujian terbesar bagi penganjuran sukan bola sepak di Stadium London setakat ini.

Stadium itu boleh menampung seramai 57,000 penonton dengan 45,957 penonton dilaporkan hadir menyaksikan perlawanan itu dengan kehadiran polis yang ramai.

Kira-kira 5, 182 tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Chelsea habis dijual.

Susulan insiden itu, Pengurus West Ham, Slaven Bilic membidas tindakan liar penyokong yang hadir dengan memberi jaminan mereka yang terlibat akan dilarang memasuki stadium itu seumur hidup.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain