suria

Piala FAM: MISC-Mifa Kemuka Bantahan Ke Atas PKNP FC

S. Arumugam

KUALA LUMPUR: Pasukan Majlis Sukan IndiaMalaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) mengemukakan bantahan rasmi kepada Persatauan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang menurunkan pemain yang tidak sepatutnya diturunkan pada aksi final pertama Piala FAM, Khamis lalu. 

Menurut Pengurus Pasukan MISC-MIFA S. Arumugam, pihaknya mendapati bahawa pemain PKNP FC, G. Mugenthirran tidak boleh diturunkan pada perlawanan di Stadium Shah Alam itu, setelah menerima dua kad kuning pada dua perlawanan terdahulu. 

"Kami memandang serius insiden ini dan telah mengemukakan bukti yang mencukupi bagi menyokong fakta yang disediakan termasuk laporan perlawanan dan rakaman video perlawanan itu kepada FAM pada Selasa. 

"Beliau telah menerima kad kuning pada aksi suku akhir menentang Sungai Ara pada 7 September dan pada aksi separuh akhir kedua menentang Felcra pada 9 Oktober. 

"Berdasarkan peraturan perlawanan yang telah ditetapkan oleh FAM, mana-mana pemain yang mengumpul dua kad kuning, secara automatik tidak layak untuk diturunkan pada perlawanan berikutnya. Kami masih menunggu jawapan daripada FAM mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

MISC-MIFA yang menang tipis 1-0 aksi final pertama, akan berkunjung keStadium Perak, Ipoh untuk perlawanan timbal balik esok dalam misinya meraih kejuaraan pertama Piala FAM, sejak menyertai kejohanan itu bermula 2014. 

Mengulas mengenai aksi kedua di venue lawan itu, Arumugam berkata cabaranutama bagi pasukannya ialah membina keyakinan dan semangat dalam kalangan pemain yang tidak biasa beraksi di hadapan penonton yang ramai. 

"Apabila bermain di hadapan lebih 10,000 penonton, pemain kami gementar,kurang keyakinan dan cuba bermain dengan selamat. Selain itu, satu lagi cabaran utama bagi kami ialah kehilangan kapten pasukan K. Premananthan yang tidak boleh diturunkan. 

"Ini kerana beliau menerima kad kuning kedua pada aksi final pertama hari itu. Bermain dengan pasukan yang mempunyai corak serangan yang baik tanpa pemain pertahanan utama (Premananthan) adalah sesuatu yang mencabar tetapi kami akan buat yang terbaik," katanya.  -Bernama

PKNP FC, MISC-MIFA

Artikel Lain