suria

KFA Yakin Mampu Bawa Pulang Pulang Piala Malaysia Ke Kedah

Pemain-pemain Kedah bakal beraksi di pentas akhir Piala Malaysia bertemu Selangor pada 30 Oktober ini. Foto: Bernama

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yakin skuad Lang Merah mampu membawa pulang piala keagungan bola sepak Malaysia pada pertemuan final Piala Malaysia dengan Selangor, 30 Oktober ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata walaupun Selangor mempunyai pengalaman yang luas selain memperoleh kelebihan apabila bermain ditempat sendiri, ia tidak menghalang Kedah daripada menampilkan persembahanterbaik pada malam perlawanan nanti.

"Selangor sudah 33 kali memenangi Piala Malaysia berbanding Kedah dengan hanya empat kemenangan, namun bukan mudah untuk Selangor mengalahkan Kedah kerana semangat juang yang tinggi yang dipegang oleh setiap pemain.

"Ini merupakan peluang Kedah untuk membalas dendam selepas kalah kepadaSelangor pada final tahun lepas. Saya yakin barisan Kedah mampu membawa pulang piala ke negeri Jelapang Padi tahun ini," katanya.

Aminuddin Omar


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Kad-i Debit Bank Islam Visa Kedah FA Lang Merah, di sini, Selasa.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar semua pemain tidak terlalu yakin dan bermain sambil lewa kerana Selangor bukan calang-calang pasukan.

Tahun lepas, Selangor muncul juara buat kali ke-33 selepas menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, bagi menjadikan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada pentas final seimbang, selepas Kedah menewaskan Gergasi Merah 3-2 pada 2008.

Sementara itu, Aminuddin berkata ganjaran wang tunai bakal menanti pasukan Lang Merah sekiranya mereka berjaya membawa pulang piala.

"Buat masa ini belum ditetapkan lagi jumlah ganjaran yang bakal diterimapemain tetapi apa yang pasti seperti kebiasaan kerajaan negeri dan KFA akan menyediakan ganjaran.

"Saya harap pemain dapat memberi fokus semasa perlawanan nanti," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain