suria

Pemain Muda Kedah Faham Corak Permainan JDT

PENGALAMAN menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) sebanyak dua kali membuatkan pemain Kedah lebih bersedia dan memahami corak permainan lawan bagi menghadapi perlawanan kedua separuh akhir Piala FA di Larkin pada Sabtu ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, dalam aksi Liga Super dan separuh akhir pertama Piala FA sebelum ini, Kedah hanya diperkuatkan oleh pemain muda dan beberapa tonggak senior.

Bagaimanapun katanya, anak muda negeri itu berjaya mengekang asakkan pemain berpengalaman JDT yang juga tonggak skuad Harimau Malaysia dan memastikan mereka tidak tewas di Stadium Darul Aman.

"Pemain muda Kedah berjaya membuktikan mereka tidak takut berdepan JDT walaupun lawan tidak pernah kalah serta juara Piala AFC 2015. Mereka bermain tanpa hiraukan siapa lawan mereka.

"Reputasi JDT itu juga membuatkan pemain Kedah beraksi dengan lebih baik untuk membuktikan kemampuan mereka serta dan tidak tewas.

"Saya juga berpuas hati dengan aksi penjaga gol muda kita, Farhan Abu Bakar yang begitu cemerlang mempertahankan gawangnya daripada bocor," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe memberitahu, kehilangan Liridon Krasniqi dan Muhd Amirul Hisyam Awang Kechik dalam perlawanan Sabtu ini mungkin akan mengubah rentak permainan, namun ia tidak menjadi alasan untuk Kedah Tewas.

"Kita telah turunkan pemain simpanan ketika bertemu JDT Sabtu lalu dan mereka telah mempamerkan prestasi yang baik. Oleh itu mereka juga mampu untuk bermain di Larkin nanti.

"JDT pernah ditewaskan oleh Felda di Larkin dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia musim lalu dan kita juga mampu berbuat demikian jika beraksi dengan cemerlang demi memastikan Kedah berada di final nanti.

"Dalam permainan bola sepak tidak ada yang mustahil. Jika setiap pemain melaksanakan tanggungjawab dengan baik, kita mampu membawa pulang kejayaan," tegasnya.

JDT, Kedah, Helang Merah

Artikel Lain