suria

APO2016: Faiz Subri Teruja Bakal Sambut Anak Kedua

Muhd Faiz bersama isteri dan anaknya.

PENJARING gol sensasi Pulau Pinang, Muhd Faiz Subri teruja untuk menyambut kehadiran ‘orang baharu’ dalam keluarganya apabila bakal menimang cahaya mata kedua April ini.

Nama penyerang kelahiran Ayer Hitam, Kedah ini sehingga kini masih menjadi sebutan selepas melakukan sepakan percuma unik yang menjadi perhatian dunia bulan lalu ketika pasukannya menentang Pahang.

Biarpun namanya mendadak naik, sikap merendah dirinya tidak pernah berubah dan mengakui apa yang dilalui tahun ini adalah rezekinya dan bertekad akan terus melakukan aksi yang lebih baik.

“Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dalam permainan. Satu aksi itu mungkin menjadi sejarah bola sepak negara, namun ia tidak bermakna saya yang terbaik.

“Saya akan cuba melakukan yang lebih baik selagi bergelar pemain bola sepak. Pun begitu buat masa sekarang saya dan isteri lebih teruja untuk menyambut kelahiran anak kedua kami April ini.

“Kemungkinan besar anak sulung lelaki saya yang kini berusia 4 tahun bakal mendapat adik lelaki,” ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Muhd Faiz, 29, mengakui sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.

“Sudah menjalani latihan seperti biasa dengan pasukan dan semuanya sudah ‘okay’. Saya harap semuanya akan baik-baik menjelang perlawanan dengan Sarawak pada 5 April ini.

“Tempoh rehat saingan Liga Super (perlawanan Piala FA beraksi) memberi sedikit kelebihan kepada kami untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan sebelum ini.

“Kami sebolehnya mahu mengutip mata penuh ketika bertemu Sarawak nanti bagi mengukuhkan kedudukan,” jelasnya yang turut disenaraikan bagi pencalonan Anugerah Pilihan Online 2016 (APO) bagi kategori Bintang Sukan Lelaki Pilihan.

Pasukan Harimau Kumbang kini berada di tangga ketujuh liga dengan lima mata selepas mengharungi lima perlawanan dengan dua kalah, dua seri dan sekali menang.

Selain itu, Muhd Faiz turut gembira apabila namanya turut tersenarai dalam 15 atlet lelaki negara bagi pencalonan APO 2016.

“Sudah tentu saya gembira kerana ini kali pertama dicalonkan dalam apa sahaja anugerah. Saya berharap akan mendapat undian tertinggi daripada semua penyokong Pulau Pinang serta peminat-peminat bola sepak tanah air.

“Jika nama saya dicalonkan serta kekal berada dalam senarai akhir dan menang, ia dianggap sebagai hadiah untuk  anak yang bakal dilahirkan nanti.

Peminat sukan negara boleh mencalonkan atlet pilihan masing-masing dengan melayari http://apo.mstar.com.my sehingga 31 Mac ini.

Pencalonan terbanyak akan membolehkan selebriti dan personaliti berkenaan ke peringkat seterusnya iaitu pengundian lima teratas mulai 1 April ini.

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 17 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Acara kemuncak ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April ini, pukul 9 malam dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Artikel Lain