suria

Malaysia Tidak Ambil Mudah Cabaran Macau - Kim Swee

Ong Kim Swee.

MELAKA: Skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran Macau dalam aksi persahabatan Selasa depan, walaupun pasukan itu berada di ranking lebih rendah berbanding Harimau Malaysia.

Ketua Jurulatih Malaysia Datuk Ong Kim Swee berkata skuad negara akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam segala aspek bagi memastikan dapat menampilkan aksi terbaik pada perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Hang Jebat di sini.

"Semua pasukan mempunyai kelebihan dan perancangan tersendiri dan pemain tidak boleh mengambil mudah...kita harus berada di tahap lebih baik.

"Saya percaya semua pemain negara bersedia menghadapi lawan mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di wad Ortopedik Lelaki di Hospital Melaka di sini Ahad.

Lawatan itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, yang juga pengurus pasukan Malaysia serta pemain negara.

Sebagai persediaan menghadapi perlawanan itu, Ong berkata pemain akan menjalani latihan pertama di Stadium Hang Jebat esok, bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang.

Mengenai program ziarah tersebut, beliau berkata pihaknya akan terus mengadakan program seumpama itu bagi mengeratkan lagi hubungan antara pemain dan masyarakat.

"Ini salah satu tanggungjawab sosial yang boleh kita terapkan dalam kalangan pemain bagi merapatkan lagi hubungan dengan masyarakat.

"Saya percaya pesakit-pesakit ini terharu dapat bertemu pemain negara, dan ia sekali gus memberi motivasi kepada pemain untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA

Ong Kim Swee, Macau, Harimau Malaysia

Artikel Lain