suria

Wallace Tan Ganti Arulselvaraj Kendali Skuad Remaja Kebangsaan

Wallace Tan.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih negara, Wallace Tan akan mengendalikan skuad pembangunan kebangsaan menggantikan A. Arulselvaraj selepas pasukan itu gagal layak ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan.

Arul pula akan membantu Wallace kerana kontraknya bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih ada sehingga Ogos tahun depan, manakala penolong jurulatih sedia ada, Muhd Amin Rahim dikekalkan secara 'attachment' untuk belajar daripada ketua jurulatih itu.

Keputusan itu diumumkan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif konfederasi itu pada Sabtu.

"Setakat ini kita masih memerlukan khidmat Arul untuk membantu Wallace kerana beliau telah lama bersama skuad itu dan kenal pemain dengan rapat. 

"Tapi itu tidak bermakna kontraknya akan disambung selepas Ogos depan kerana kita akan kaji semula nanti," katanya kepada media selepas mesyuarat itu.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih kebangsaan dan jurulatih sementara Projek 2020, Muhammad Dharma Raj Abdullah dilantik mengendalikan skuad senior wanita negara dengan dibantu Lailin Abu Hassan dan A. Kannagi.

Bekas jurulatih skuad wnaita negara, Mohd Nasihin Nubli pula menjadi jurulatih penjaga gol skuad senior kebangsaan untuk memperkukuhkan posisi itu yang dianggap lemah dan menjadi faktor kegagalan skuad negara layak ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro dan Piala Dunia Remaja.

Mengenai penyingkiran di suku akhir Piala Remaja Asia di Kuantan bulan lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM Datuk Ow Soon Kooi menyalahkan taktik yang digunakan sehingga terlepas peluang beraksi di Piala Dunia Remaja.

"Persiapan yang dibuat cukup baik dan jika anda tanya mengenai pemain, mereka memiliki skil yang hebat, disiplin yang bagus...hanya pada tiga minit terakhir, mereka patut memikirkan untuk layak ke Piala Dunia Remaja, bukannya membelasah Korea Selatan.

"Kita tidak perlu bermain cantik pada waktu itu, mereka harus menggunakan seluruh padang untuk mengawal permainan dan menyimpan bola, tapi saya pasti pemain belajar daripada itu.

"Secara peribadi saya rasakan jika pasukan ini bukan yang terbaik di kejohanan itu, ia harus di tempat kedua atau ketiga," katanya.

Ketika hanya empat pasukan yang mara ke separuh akhir layak ke Piala Dunia Remaja, Korea bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mengikat kedudukan 3-3 sebelum menang 4-1 menerusi penentuan penalti bagi menempah tiket ke India.

Senarai jurulatih:

Skuad senior kebangsaan (lelaki) 

Ketua jurulatih: Stephen Van Huizhen

Penolong jurulatih: Lim Chiow Chuan

Jurulatih penjaga gol (keseluruhan): Mohd Nasihin Nubli

Attachment: Mohd Madzli Ikmar

Skuad senior kebangsaan (wanita)

Ketua jurulatih: Muhammad Dharma Raj Abdullah 

Penolong jurulatih: Lailin Abu Hassan, A. Kannagi

Jurulatih penjaga gol: Roslan Jamaluddin

Skuad pembangunan kebangaaan (lelaki)

Ketua jurulatih: Wallace Tan

Penolong jurulatih: A. Arulselvaraj

Attachment: Muhd. Amin Rahim

Skuad pembangunan kebangsaan (wanita)

Ketua jurulatih: K. Gobinathan

Penolong jurulatih: Leo Vincey

Attachment: Nor Saliza Ahmad Soobni

Program 2020 (Lelaki)

Pengurus program: Nor Saiful Zaini

Attachment: Muhd. Sufian

Program 2020 (wanita)

Pengurus program: Lailin Abu Hassan

Attachment: Catherine Lambok

Program 1MAS (B-16) (Lelaki)

Ketua jurulatih: S. Vellapan 

Penolong jurulatih: Nor Harmezi Omar, Shahzan Amir

Program 1MAS (wanita)

Ketua jurulatih: Yahya Atan 

Penolong jurulatih: Nuriza Sulaiman

- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain