suria

Khairy Ingatkan Atlet Bina Badan Tidak Terjebak Bahan Terlarang

KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin malam ini mengingatkan atlet-atlet bina badan negara supaya tidak terjebak dengan unsur negatif termasuk pengambilan bahan terlarang.

Beliau berkata, selain mengekalkan bina badan sebagai sukan tanpa gejala negatif, mereka perlu memberi fokus kepada latihan bagi memastikan kemenangan dirangkul dengan rekod bersih.

"Kita (perlu) fokus dan memastikan kita menang dengan rekod bersih dalam sukan bina badan," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kejohanan Bina Badan Mr Borneo Keningau 2015 di sini, malam Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang atlet bina badan gagal dalam ujian doping Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September lepas sebelum kontinjen negara berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia Ke-49 bermula 29 September hingga 5 Oktober.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, bina badan akan menjadi antara sukan pada temasya Sukan SEA 2017 nanti.

Khairy berharap, Malaysia akan meneruskan tradisi sebagai antara negara di Asia yang mampu melahirkan jaguh sekali gus bintang dalam arena sukan itu.

Mengenai Mr Borneo, beliau berkata sukan itu mampu memberi inspirasi kepada belia untuk menjadi lebih cergas dan sihat sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan yang hebat.

Kejohanan kali kedua itu dianjurkan Pergerakan Pemuda Umno Keningau dengan kerjasama Persatuan Bina Badan Sabah.

Seramai 50 peserta dari Sabah, Sarawak, Labuan Brunei dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyertai kejohanan itu yang mempertandingkan kategori 60 kilogram (kg) ke bawah, 60kg hingga 70kg, 70kg hingga 80kg, dan 80kg ke atas.

Pada majlis sama, Khairy turut meluluskan pembinaan gelanggang futsal di Kompleks Sukan Keningau. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain