suria

Iskandar Hampiri Gelaran Kelima Musim Ini

Pemain perseorangan Iskandar Zulkarnain Zainuddin beraksi menentang Mohd Arif Abdul Latif dalam saingan separuh akhir Badminton Sirkit Kebangsaan Maybank 2015 di Stadium Juara pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kian menghampiri gelaran kelimanya musim ini selepas mara ke final Kejohanan Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini Sabtu.

Pilihan utama kejohanan itu yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menundukkan bekas pemain kebangsaan, Mohd Arif Abdul Latif yang mewakili Negeri Sembilan menerusi kemenangan straight-set 21-19, 21-10.

Iskandar yang sudah memenangi tiga gelaran antarabangsa musim ini; Siri Antarabangsa Singapura, Siri Antarabangsa Poland dan Cabaran Antarabangsa Switzerland serta kejohanan domestik Terbuka Perak, bakal berdepan rakan sepelatih, Chong Yee Han pada aksi final, Ahad.

Chong yang tidak diletakkan selaku pilihan melakar kejutan ke atas Goh Soon Huat yang mara ke separuh akhir Terbuka Belanda dan Terbuka Macau baru-baru ini dengan kemenangan 16-21, 22-20, 21-19.

Bercakap kepada pemberita mengenai aksi pada Ahad, Iskandar tidak mahu memandang mudah Chong walaupun pernah mengalahkan pemain berkenaan di suku akhir Cabaran Antarabangsa Malaysia di Kedah, bulan lepas.

"Sasaran saya sebelum bermulanya kejohanan ini adalah muncul juara namun saya tidak akan mengambil mudah cabaran yang bakal diberikan Chong kerana dia juga adalah seorang pemain yang bagus," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Mohd Arif berjaya menebus kekecewaannya selepas gandingannya bersama Nur Mohd Azriyn Ayub mara ke final acara beregu lelaki selepas menang 21-14, 21-17 ke atas wakil BAM, Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid/Wong Fai Yin.

Mereka bakal berdepan satu lagi wakil BAM, Tan Wee Gieen/Teo Ee Yi yang mengalahkan rakan sepelatih, Low Juan Shen/Ong Yew Sin 21-13, 21-18.

Dalam pada itu, pertarungan yang dinantikan antara juara remaja dunia Goh Jin Wei dan pemain nombor satu negara, Tee Jing Yi menjadi kenyataan selepas masing-masing mara ke final perseorangan wanita pada Ahad.

Jin Wei, 15, menang 21-15, 21-13 ke atas Lee Ying Ying, lawan sama yang ditundukkannya di final Kejohanan Remaja Dunia baru-baru ini manakala Jing Yi, juara kebangsaan 2010, 2011 dan 2012, mara selepas menang mudah 21-15, 21-7 ke atas pemain muda negara, Lee Zii Yii.

"Menentang Jing Yi pasti satu pertarungan yang sukar tapi saya akan beri yang terbaik esok," katanya mengenai lawan yang menundukkannya di Terbuka Perak Ogos lepas.

Jin Wei turut berharap dapat beraksi di Kejohanan GP Emas Masters Malaysia di Pulau Pinang pertengahan bulan depan selepas hanya diletakkan dalam senarai simpanan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM). - Bernama

Artikel Lain