suria

JDT Masih Cari Pengganti Figueroa

Luciano Figueroa.

PETALING JAYA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) masih menilai beberapa calon penyerang import berpotensi untuk menggantikan Luciano Figueroa untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd Fahmy Yahya berkata pihaknya sedang mencari calon yang mampu memberi persembahan terbaik seperti yang dipamerkan penyerang dari Argentina itu sehingga membantu pasukan berkenaan meraih pelbagai kejayaan, musim ini.

"(Rakan senegera Figueroa), Jorge Pereyra Diaz akan kembali beraksi bersama kita musim depan, namun pengurusan masih mempertimbangkan sama ada mahu meletakkannya beraksi dalam saingan Liga-M atau Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya.

Mohd Fahmy berkata demikian ketika ditemui Bernama pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 di sini, malam Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan pengendali JDT, Mario Gomez dari Argentina telah menyenaraipendekkan enam calon pengganti Figueroa, 34, yang sudah mengumumkan persaraannya dan mereka terdiri daripada pemain yang beraksi dalam Liga Eropah, China dan Amerika Selatan.

Dalam pada itu, Mohd Fahmy menyifatkan kejayaan skuad Harimau Selatan membolot lapan daripada 17 kategori pada majlis berkenaan merupakan satu pengiktirafan di atas pelbagai kejayaan yang dikecapi musim ini.

Selain meraih Anugerah Khas menerusi kejayaan menjadi wakil Malaysia pertama menjulang Piala AFC sejak ia diperkenalkan pada 2004, pasukan selatan tanah air itu turut meraih tujuh kategori lain.

Kategori itu adalah Pemain Paling Bernilai dan Pemain Tengah Terbaik (Safiq Rahim), Jurulatih Terbaik (Mario Gomez), Pemain Pertahanan Terbaik (Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak), Penyerang Terbaik (Mohd Amri Yahyah), Penjaga Gol Terbaik (Mohd Farizal Marlias) dan Pemain Import Terbaik (Luciano Figueroa).

"Bagi saya, ia merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan semua bangsa Johor khususnya dan amnya di Malaysia. Dalam masa tiga tahun, JDT mampu membuka era baharu dalam bola sepak tanah air," kata Mohd Fahmy.

Sepanjang musim ini, JDT telah meraih tiga trofi iaitu Piala Sultan Ahmad Shah, Piala Liga Super dan Piala AFC. - BERNAMA

Luciano Figueroa, JDT

Artikel Lain