suria

Berita Mengejutkan: Pemain United Adnan Januzaj Dipinjamkan Ke Borussia Dortmund

Adnan Januzaj memperagakan jersi barunya bersama Borussia Dortmund pada Isnin.

MANCHESTER UNITED berpisah dengan seorang lagi pemainnya, kali ini Adnan Januzaj yang dipinjamkan kepada kelab Jerman, Borussia Dortmund selama semusim.

Perpindahan itu dilengkapkan pada lewat Isnin.

United sebelum ini menjual pemain pertahanannya Jonny Evans kepada West Bromwich Albion dan pada Isnin turut menjual penyerangnya, Javier Hernandez kepada sebuah lagi kelab Jerman, Bayer Leverkusen.

Pada awal musim, mereka menjual penyerang antarabangsa Belanda, Robin van Persie kepada kelab Turki, Fernabache dan tidak melanjutkan kontrak pinjaman penyerang Colombia, Radamel Falcao yang kini menyertai Chelsea.

Januzaj, 20, menyertai United dari Anderlecht pada 2011 tetapi hanya berjaya membuat penampilan untuk skuad utama pada tahun 2013. Dia telah bermain sebanyak 62 kali untuk United dan menjaringkan lima gol.

Pengurus United Louis van Gaal ingin menukar pemain tengah ini sebagai penyerang kedua di belakang Wayne Rooney. Januzaj berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika menentang Aston Villa.

Bagaimanapun keputusan van Gaal untuk melepaskannya pergi ke Jerman mengejutkan banyak pihak memandangkan United kekurangan penyerang selepas mereka menjual Robin van Persie, tidak melanjutkan kontrak pinjaman Radamel Falcao dan yang terbaru turut menjual Javier Hernandez kepada sebuah lagi kelab Jerman, Bayer Leverkusen.

Artikel Lain