suria

Sejarah Menanti Serena Di Terbuka Amerika Syarikat

Serena Williams

JIKA Serena Williams menjuarai kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat tahun ini, dia akan mencatat sejarah sebagai pemain wanita pertama dalam tempoh 27 tahun untuk memenangi kesemua siri kejohanan Grand Slam dalam satu tahun.

Siri kejohanan Grand Slam cuma ada empat sahaja dalam kalendar tenis iaitu Terbuka Australia, Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.

Dan berdasarkan pencapaian semasa, dia mampu mencatatkan rekod itu.

Terbuka Amerika Syarikat akan bermula di New York mulai Isnin.

Rekodnya tahun ini menunjukkan Williams menang 48 kali dan cuma tewas dua kali sahaja. Sejak memenangi kejohanan ini tahun lalu, rekod Williams atas gelanggang keras ialah 32-3.

Apabila dia memenangi Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu, ia adalah yang ketiga berturut-turut. Bermakna jika berjaya mempertahankan kejuaraannya tahun ini, rekod tersebut akan menjadi yang keempat berturut-turut.

Satu rekod lagi menunjukkan, dia telah memenangi 30 daripada 32 perlawanan akhirnya.

Dan yang menakjubkan ialah, ini semua dicapai pada usianya yang ke-34.

William memenangi Grand Slamnya yang pertama ketika berusia 17 tahun di Terbuka Amerika Syarikat pada tahun 1999. Tiga tahun selepas itu dia kembali untuk sekali lagi menjadi juara.

Sepanjang kariernya Williams telah memenangi AS$73.3 juta - menjadikannya salah seorang ahli sukan wanita terkaya di dunia.

Dia telah merangkul 69 kejohanan ATP dan sejak Februari 2013 menjadi pemain tenis nombor satu dunia untuk kali yang keempat dan terus kekal sehingga sekarang.

Williams juga adalah pemenang pingat emas Olimpik 2012 di London.  


Artikel Lain