suria

Melaka United Mahu Cari Pemain Asean

MELAKA: Melaka United mahu mencari pemain dari negara Asean dalam menghadapi saingan Liga Perdana musim depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United berkata barisan pemain sedia ada yang sebelum ini bertarung dalam Liga FAM belum cukup ampuh untuk bertarung dalam Liga Perdana yang lebih hebat.

Melaka United layak ke Liga Perdana apabila muncul juara Kumpulan B Liga FAM walaupun tewas kepada Young Fighters FC 0-2 malam tadi.

"Apabila memasuki Liga Perdana, kita perlu pastikan kita tidak tersingkir semula ke Liga FAM," katanya kepada Bernama.

Sementara itu ketua jurulatih Melaka United, Mat Zan Md Aris berkata mereka mahu menjulang Piala FAM pada perlawanan akhir menentang Perlis Ahad ini.

"Ia sebagai kemenangan untuk penyokong kita. Kita lihat stadium adalah penuh (malam tadi) dan ia petanda baik untuk bola sepak Melaka secara keseluruhan," katanya.

Penyerang muda Melaka United, Nurshamil Abd Ghani pula berkata beliau berazam untuk mencapai kemenangan buat Melaka.

"Saya mahu membantu Melaka United memenangi Piala Liga FAM dan saya mahu terus bermain bersama Melaka United pada saingan Liga Perdana tahun depan," kata bekas penyerang Harimau Muda B ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain