suria

Stadium Hang Jebat Venue Final Liga FAM 2015

KUALA LUMPUR: Stadium Hang Jebat di Melaka dipilih sebagai venue perlawanan akhir kejohanan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (Liga FAM) 2015 antara juara Kumpulan A Perlis dan juara Kumpulan B Melaka United.  

Keputusan berkenaan dimaklumkan FAM menerusi laman Twitternya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin. 

Kejayaan Perlis dan Melaka United menjuarai kumpulan masing-masing menyaksikan mereka layak beraksi dalam saingan Liga Perdana 2016 manakala Kuala Lumpur dan SPA Putrajaya FC yang menduduki tangga ke-11 dan ke-12 Liga Perdana 2015 tersingkir ke saingan Liga FAM.

Perlis muncul juara Kumpulan A setelah mengalahkan pencabar terdekat Real Mulia FC 2-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 16 Ogos lepas. 

Melaka United pula muncul juara Kumpulan B menerusi perbezaan jaringan keatas pencabar terdekat MISC-MIFA walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 36 mata selepas 16 perlawanan.

Saingan Liga Malaysia 2015 bakal melabuhkan tirai menerusi kempen Piala Malaysia bermula bulan depan yang melibatkan 10 pasukan Liga Super, empat pasukan teratas Liga Perdana dan dua pemenang perlawanan kalah mati yang berlangsung Selasa ini. 

Perlawanan kalah mati itu membabitkan pertemuan NS Matrix dan ATM di StadiumMajlis Perbandaran Selayang manakala perlawanan Sime Darby FC dan Johor DarulTa'zim II berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Artikel Lain