suria

Kedah Kekal Tangga Teratas Liga Perdana

Pemain Kedah, Muhammad Syafiq Ahmad (kanan) diasak oleh pemain PKNS FC Gonzalo pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Darul Aman malam Jumaat. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Perdana, Kedah gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengumpul mata penuh selepas sekadar seri 1-1 ketika menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam Jumaat.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan skuad Helang Merah ini yang terus kekal di tangga liga dengan kutipan 35 mata, berkelebihan sekadar dua mata ke atas pencabar terdekat T-Team. 

Pada aksi itu, Kedah dikejutkan pasukan pelawat yang meraih jaringan pembukaan seawal minit ke-21 menerusi Pedro Henrique sebelum mereka bangkit mengikat jaringan menerusi Liridon Krasniqi pada masa tambahan babak pertama.

Johor Darul Ta'zim II pula memintas kedudukan Sabah di tangga kelima selepas melakar kemenangan selesa 4-1 ke atas T-Team di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu.

Empat gol skuad Harimau Selatan ini dijaringkan oleh Mohd Shafiq Shaharuddin pada minit ke-14, kapten pasukan Shahril Ishak (minit ke-44), Baihakki Khaizan (minit ke-48) dan Mohd Akmal Ishak pada minit ke-61.

T-Team pula meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti pemain import baharu mereka, Tomislav Busic pada minit ke-21.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dua gol dari Francis Forkey Doe pada minit ke-49 dan sepakan penalti pada minit ke-65 mampu membantu pasukan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix untuk menewaskan wakil Pahang, Kuantan FA.

Pasukan bawahan liga, Kuala Lumpur pula melakar kemenangan mengejut 2-0 ke pasukan tangga ketiga Pulau Pinang di Stadium Merdeka.

Dua gol skuad 'The Hawks' dijaringkan pemain import Korea Selatan, Lee Jin-Seuk pada minit ke-62 dan pemain sayap Pritam Singh pada minit ke-87.

Pertemuan antara DRB Hicom FC dan UiTM FC di Stadium Proton, Tanjung Malim Perak pula berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Dalam pada itu SPA Putrajaya FC yang mendapat sentuhan bekas jurulatih Selangor, Ken Worden dari Australia meraih kemenangan pertama musim ini selepas 16 perlawanan hasil kemenangan selesa 3-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Tiga gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Rodion Sergeyevich Dyachenko pada minit ke-65, Nor Azizi Azman (minit ke-77) dan Khairul Azry Abdul Rahman, selang empat minit kemudian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain