suria

Liga Hoki Malaysia-TNB: KLHC Tidak Mahu Terlalu Berharap

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Konfederasi Hoki Malaysia, Logan Raj (enam dr kiri) bergambar bersama jurulatih-jurulatih pasukan yang akan beraksi dalam Liga Hoki Malaysia-TNB, pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Juara empat kali berturut-turut Liga Hoki Malaysia-TNB, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan berdepan dengan masalah pemain.

Juara TNB-MHL 2010,2011,2012,2013 yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan, K.Dharmaraj itu menjelaskan pasukannya tidak mempunyai pemain lengkap sejak sebulan yang lalu.

“Berbanding dengan pasukan lain yang sudah mempunyai 50-70 peratus pemain lengkap, kita hanya ada lapan pemain memandangkan empat pemain lain berada dalam pasukan kebangsaan, seorang berada di Jerman (Kevin Lim) manakala enam pemain import baharu tiba di sini minggu ini.

“Saya masih mencari keserasian dalam pasukan dan setakat ini masih belum nampak lagi. Dua daripada enam pemain baharu dari Pakistan adalah pemain biasa sahaja. Sebenarnya kita harapkan pemain lain tetapi mereka mengalami masalah kecederaan.

“Jadi persiapan pasukan tidak berapa bagus musim ini,” jelasnya ketika ditemui selepas sidang media Liga Hoki Malaysia -TNB pada Khamis.

Bekas juara bertahan ini disekat musim lalu oleh pasukan Terengganu Team Hockey (THT) dengan gelaran berganda iaitu juara liga dan juga Piala Liga.

“Kalau boleh kami tidak mahu berjumpa dengan THT terlalu awal, tetapi kami terpaksa bermain dalam aksi Piala Sumbangsih Ahad ini.

“Pun begitu kami harap dapat mengutip tiga mata dalam aksi itu nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, jika majoriti kelab yang akan beraksi dalam liga musim ini mempamerkan himpunan bintang-bintang import, namun berbeza pula dengan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selaku penaja utama liga hoki negara ini, sudah pasti tidak menjadi masalah bagi mereka untuk mendapatkan pemain-pemain import yang terkenal, namun itu tidak berlaku.

“TNB tetap mengekalkan dasar pemain tempatan dengan mengetengahkan pemain-pemain muda dari sekolah-sekolah sukan.  

“Sasaran kita adalah memberi pendedahan kepada pemain-pemai muda dan mereka inilah yang akan mewakili negara,” jelas skuad yang dibimbing bekas pemain negara Nor Saiful Zaini.

Sementara itu, jurulatih THT Sarjit Singh, membuka pilihan lebih luas dengan kemasukan pemain-pemain Argentina Pablo Javier Trevisan, Nicolas Cicileo, Jose Leandro Tolini dan Ignicio Quilez selain turut meletak sandaran di bahu pemain Pakisan iaitu Ahmad Shakeel.

Selain itu bagi menguhkan kedudukan selalu juara berganda, THT turut diserta pemain kebangsaan seperti Hafizuddin Othman, Azlan Misron (pertahanan), Shahrun Nabil dan Fitri Shaari (tengah) manakala barisan serangan dikuasai Faizal Shaari, Tengku Ahmad Tajuddin dan Firhan Shaari.

Bagi pasukan UniKL Guns yang dibimbing Arul Selvaraj, sasaran untuk layak ke saingan separuh akhir bakal dipikul pemain-pemain berpengalaman seperti Haziq Samsul, Baljit Singh, Izwan Firdaus  dan Meor Azuan yang beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Artwerp bulan lalu.

Manakala barisan pemain import pula diperkuat oleh Richard Sykes, Patrick Neil Schultz dan Jethro Ray Eustice.

Satu lagi pasukan yang dijangka akan memberi saingan sengit ialah pasukan Sapura Hockey Club yang dibimbing jurulatih kebangsaan Tan Beng Hai.

Beng Hai melengkapkan skuadnya dengan penampilan Khasif Ali, Muhammad Imran, Abdul Haseem Khan dan Muhamad Azfar Yaqoob.

Dan tidak lengkap aksi tanpa pasukan Maybank yang turut tidak kalah dengan membariskan pemain-pemain import dari Pakistan termasuk Imran Butt, Muhammad Irfan, Muhammad Toseeq dan Muhammad Waqas dan dibantu dengan seorang pemain dari India, Deepanshu Bhargav.

Liga Hoki Malaysia-TNB bakal bermula pada 31 Julai hingga 27 September ini, manakala aksi Piala Sumbangsih di antara KLHC dan THT di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Sebagai rekod, THT dinobatkan juara musim lalu selepas menewaskan KLHC dengan 2-1 selepas terikat 3-3, manakala TNB ditempat ketiga setelah menewaskan Maybank.

Bagi aksi Liga Premier TNB -MHL (Divisyen 1), juara dirangkul Sapura HC, diikuti TNB Thunderbolt dan ketiga UniKL Young Guns.

Manakala Piala TNB dijulang pasukan THT, naib juara KLHC dan ketiga TNB.

MHC, Liga Hoki Malaysia

Artikel Lain