suria

F1: Keluarga Mendiang Bianchi Sertai Tafakur Satu Minit Di Hungary

Pelumba-pelumba berkumpul untuk majlis 'One minute silence' sebelum perlumbaan GP Hungary.

SUPREMO Formula Satu (F1) Bernie Ecclestone membawa ahli keluarga mendiang Jules Bianchi ke Hungary bagi sama-sama menyertai majlis penghormatan sebelum aksi perlumbaan Formula Satu Grand Prix Hungary bermula, Ahad malam.

Dilaporkan seramai lapan orang ahli keluarga mendiang termasuk ibu, bapa, kakak dan abang Bianchi tiba di Mogyorod selepas Ecclestone menghantar pesawat untuk menjemput mereka di Nice, Perancis.

Majlis tafakur selama satu minit itu dilakukan 15 minit sebelum perlumbaan bermula.

Sebahagian darippada ahli keluarga mendiang Bianchi yang tiba di Mogyorod pada Ahad.


Bianchi yang dikebumikan Selasa lalu di kampung halamannya di Nice menghembus nafas terakhir selepas hampir sembilan bulan bertarung nyawa setelah mengalami kemalangan ngeri pada GP Jepun Oktober lalu.

Bianchi mengalami kecederaan parah di bahagian kepala apabila jentera Marussia yang dipandunya melanggar jentolak di luar trek.

Bianchi, 25, merupakan pelumba F1 pertama yang meninggal dunia disebabkan kemalangan ketika perlumbaan selepas tahun 1994 yang melibatkan pelumba Brazil Ayrton Senna dan pelumba Austria Ratzenberger yang maut dalam insiden berbeza di Imola.

Pasukan F1 dan pelumba-pelumba turut melahirkan penghormatan kepada Bianchi di Hungary dengan melekatkan  'Ciao Jules', #JB17 dan 'Jules Forever' di jentera dan topi keledar masing-masing.

Malah Persekutuan Antarabangsa Automobil (FIA) turut mengumumkan nombor 17 'bersara' daripada perlumbaan dan tidak membenarkan pelumba-pelumba lain menggunakan angka tersebut.

Jules Bianchi, FIA, F1

Artikel Lain