suria

Jelajah Asia 2015: Peluang Pemain Liverpool Pikat Hati Pengurus

Adam Lallana

KUALA LUMPUR: Andai pasukan Pilihan Malaysiamengharapkan sedikit simpati daripada kelab gergasi Inggeris, Liverpool dalam pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat malam, mereka boleh melupakan sahaja impian itu.

Bagi pemain tengah The Reds, Adam Lallana, tiada laluan mudah untuk tuanrumah ketika perlawanan pramusim itu cukup penting bagi semua pemain kelab tersebut memikat pengurus pasukan, Brendan Rodgers menjelang permulaan saingan musim 2015/16.

"Kami menganggap aksi pramusim cukup penting dan kini tinggal dua atau tiga perlawanan lagi untuk kami memikat pengurus sebelum musim baru bermula.

"Ini adalah peluang terbaik untuk pemain membuktikan kecergasan serta gambaran awal apa yang bakal kami harungi dalam perlawanan pertama EPL (Liga Perdana Inggeris)," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan rasmi The Reds di Stadium Nasional, Khamis malam.

Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu juga teruja dengan sokongan hebat yang ditunjukkan penyokong tempatan The Reds sejak ketibaan pasukan itu dari Australia, Isnin lepas, sambil diiringi lagu rasmi kelab 'You'll Never Walk Alone'.

Ketua pasukan, Jordan Henderson turut memuji keadaan padang di Stadium Nasional.

"Keadaan padang cukup baik. Penyokong Liverpool di sini juga hebat dan saya harap lebih ramai yang akan datang menyaksikan perlawanan nanti," katanya.

Liverpool membelasah kelab Liga Super, Felda United 7-0 dalam satu perlawanan latihan selepas sesi latihan rasmi itu tamat.

Kelab Merseyside itu memulakan Jelajah Pramusim mereka dengan menundukkanThai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai dan menundukkan kelab Liga Australia, Brisbane Roar 2-1 tiga hari kemudian, sebelum mengalahkan Adelaide United 2-0 pada Isnin lalu.

The Reds akan meneruskan perlawanan terakhir pra musim mereka di Eropah Utara menentang kelab Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos.

Kali terakhir Liverpool beraksi di Malaysia adalah pada 2011 apabila skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal memberikan aksi membanggakan di Stadium Nasional yang dipenuhi penonton sebelum tewas 3-6. |

Sehingga kini, 60,000 tiket sudah terjual.

Tiket berharga RM58 (pelajar),RM88, RM158 serta RM228 dan tempat duduk VIP terhad pada harga RM428 dan RM328.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian ticketpro.com.my,hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro dan New Balance serta Sports Empire.

Liverpool, Adam Lallana

Artikel Sebelum

Artikel Lain