suria

Penting Untuk Atlet Pelapis Ke Kejohanan Berprestij Tinggi - Ahmad Shapawi

KUALA LUMPUR: Penglibatan atlet pelapis berusia 14 tahun sehingga 18 tahun dalam kejohanan sukan berprestij adalah penting bagi memastikan atlet muda sentiasa berada pada tahap konsisten dan kompetitif.



Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN kini lebih agresif terutamanya menghantar atlet berkenaan menyertai kejohanan besar seperti Sukan Komanwel Remaja, Sukan Olimpik Remaja dan Sukan Asia Remaja.

"Pembangunan atlet muda perlu lebih agresif, persatuan sukan lebih memberi penekanan kepada atlet senior...oleh itu MSN bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri, sekolah sukan untuk mengenal pasti atlet muda yang berbakat.

"Tujuan MSN menghantar atlet muda ini menyertai kejohanan seperti Sukan Komanwel Remaja, Sukan Olimpik Remaja dan Sukan Asia Remaja untuk memastikan bakat dan prestasi atlet ini menepati standard antarabangsa supaya mereka lebih kompetitif," katanya kepada Bernama.

Ahmad Shapawi berkata Unit Sukan Prestasi Tinggi yang ditetapkan di setiap Malis Sukan Negeri juga berkesan apabila banyak atlet muda dikenal pasti selain mengambil kira atlet daripada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA).

Dalam pada itu, sejumlah 30 atlet pelapis akan menyertai Sukan Komanwel Remaja bermula 5 hingga 11 September ini di Pacific Island, Samoa yang diketuai oleh Pengarah Cawangan Pelapis, Jefri Ngadirin.

Jefri ketika dihubungi berkata walaupun penyertaan atlet tersebut adalah untuk pendedahan sahaja, kontinjen negara perlu mempamerkan aksi terbaik seperti atlet senior.

"Kita tidak meletakkan sasaran (Sukan Komanwel Remaja) kerana penyertaan mereka lebih kepada pendedahan. Pada edisi empat tahun lepas hanya atlet badminton menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen negara.

"Penganjur tidak mempertandingkan acara badminton di Samoa. Namun saya percaya atlet pelapis yang lain mempunyai peluang yang cerah untuk meraih pingat," katanya.

Kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam acara renang, angkat berat, olahraga, tenis, skuasy, boling padang, tinju dan memanah. Jefri berkata atlet muda perlu menggunakan peluang beraksi di kejohanan tersebut dengan sebaik-baiknya kerana ia merupakan platform terbaik untuk mengukur kemampuan masing-masing.

Pada edisi empat tahun lepas, kontinjen negara meraih empat pingat emas menerusi acara badminton perseorangan negara Zulfadhli Zulkifli, Nelson Heg-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chow Mei Kuan-Teo Ee yi (beregu campuran) di Isle of Man.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain