suria

Hasrat Kei Nishikori Ke Separuh Akhir Terbuka Perancis Gagal

HASRAT Kei Nishikori untuk menjadi pemain Jepun Pertama mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Perancis sejak 1933 lebur apabila tewas kepada Jo-Wilfried Tsonga 6-1, 6-4, 4-6, 3-6, 6-3 di Roland Garros, Selasa.

Sekiranya Nishikori berjaya menewaskan Tsonga, ini akan menjadi kali pertama dalam masa 82 tahun pemain Jepun berjaya mara ke pusingan empat terakhir di Roland Garros yang kali terakhir berjaya dicapai oleh Jiro Satoh.

Nishikori dilihat semakin hampir untuk mengalami kekalahan apabila tewas set pertama 6-1 dan ketinggalan 5-2 pada set kedua.

Namun perlawanan terpaksa dihentikan selama 40 minit apabila sebuah panel logam daripada scoreboard terjatuh ke arah penonton dan mencederakan seorang penonton.

Apabila perlawanan diteruskan, Nishikori tewas pada set kedua namun bangkit untuk menang dua set seterusnya.

Tsonga menunjukkan aksi yang baik pada set terakhir dengan melakukan sepuluh pukulan tidak dibalas untuk memenangi perlawanan yang berlangsung selama tiga jam 44 minit.

Selepas perlawanan Nishikori mengakui keputusan pasti berbeza sekiranya dia tidak tewas pada dua set pertama.

"Saya tidak pasti apa yang berlaku dan saya lalai dengan apa yang perlu dilakukan.

"Saya banyak melakukan kesalahan dan Tsonga banyak bermain dengan membuat pukulan 'forehand' serta membuat pukulan yang baik jadi saya tidak mampu untuk memenangi dua set pertama," katanya.

Tsonga kini akan berdepan pemain Switzerland, Stanislas Wawrinka pada peringkat separuh akhir selepas pemain berusia 30 tahun itu menewaskan rakan senegaranya, Roger Federer 6-4, 6-3, 7-6 (4).

Pemain kelahiran Perancis itu berharap nasib malangnya yang sering tewas di peringkat separuh akhir akan berhenti dan dia bertekad untuk memenangi kejohanan itu di hadapan penyokong negaranya.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar tetapi saya memulakan permainan dengan baik dan kemudian ada kemalangan kecil berlaku tetapi saya dimaklumkan tiada kecederaan serius jadi saya gembira mendengarnya.

"Saya berjaya membuat pukulan 'serve' yang baik pada set kelima dan berjaya mengawal permainan untuk keadaan kembali memihak kepada saya," kata Tsonga.


Terbuka Perancis, Roland Garros

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain