suria

Dollah Salleh Tidak Menyesal Pilih Safee Sali

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh tidak menyesal memanggil penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Safee Mohd Sali untuk sesi latihan bagi menghadapi cabaran Kelayakan Piala Dunia 2018.

Beliau berkata Mohd Safee yang sangat gigih dalam sesi latihan, menunjukkan minat yang tinggi untuk menyarung jersi kebangsaan menentang pasukan Timor Leste pada 11 Jun dan Palestin 16 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil, nanti.

"Saya percaya Safee adalah salah seorang pemain yang akan menonjol nanti, walaupun dalam keletihan, beliau bagi komitmen yang tinggi dalam latihan.

Kalau kita tengok keempat-empat penyerang, Mohd Amri Yahyah, Mohd Safee, Mohd Afiq Azmi dan Norshahrul Idlan Talaha, kesemua empat orang ini menunjukkan apa yang saya mahukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di padang latihan Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini, Selasa.

Mohd Safee turut menunjukkan prestasi yang baik ketika aksi pemanas badan menentang pasukan Kuantan FA semalam, yang mana skuad 'Harimau Malaya' mencatatkan kemenangan 4-0 menerusi jaringan Mohd Afiq pada minit pertama, Norshahrul Idlan ('31) dan dua jaringan Mohd Safee ('76 dan '81).

Pengendali berusia 51 tahun itu mengakui bahawa tanggungjawab untuk memilih senarai 23 pemain untuk pusingan kelayakan itu, yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 menjadi semakin sukar.

Beliau berkata berkemungkinan besar beliau akan mengambil tempoh sehingga hari Jumaat untuk menyenaraikan pemain skuad kebangsaan, iaitu sehari sebelum aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Nasional.

"Memang saya banyak pilihan, di bahagian kiri dan kanan pertahanan saya nampak ada dalam lebih tujuh pemain tapi kita nak tiga atau empat, khasnya bahagian kiri mungkin dua atau tiga saya terpaksa tolak.

Cuma saya kena perhatikan betul-betul sebab bila bermain dengan pemain tempatan mereka boleh bermain, tetapi dalam aksi antarabangsa saya agak risau.

Di bahagian tengah tak banyak pilihan, cuma ada Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mohd Afif Amiruddin dan Ronny Harun jadi saya rasa tak ada masalah dekat situ," katanya.

Untuk aksi persahabatan Piala Dunia 2018 di Rusia, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Palestin dan Timor-Leste.

Harimau Malaya, Piala Dunia

Artikel Lain