suria

Mourinho Nafi Costa Mahu Tinggalkan Chelsea

PENGENDALI Chelsea, Jose Mourinho menolak laporan bahawa penyerang kelab itu, Diego Costa mahu kembali ke Atletico Madrid kerana sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di London.

Awal minggu ini, akhbar tempatan Sepanyol, Marca, menerangkan Costa menghadapi kesukaran untuk membiasakan diri dengan keadaan cuaca dan budaya di sana.

Akhbar itu juga menyatakan, pemain berusia 26 tahun itu juga telah menghubungi Pengarah di Atletico Madrid dan sanggup menerima gaji yang rendah untuk pulang semula ke Sepanyol.

Bagaimanapun Mourinho menegaskan pemain kebangsaan Sepanyol yang menjaringkan 20 gol dalam musim pertamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak pernah menunjukkan rasa tidak gembira ketika berada di Stamford Bridge.

"Dia merupakan antara lelaki yang paling ceria di Chelsea dan sekiranya itu dianggap tidak gembira jadi saya rasa amat berpuas hati," kata Mourinho.

Pemain kelahiran Brazil itu berpindah ke Chelsea dari Atletico Madrid dengan bayaran perpindahan sebanyak 32 juta pound (RM180.56 juta) pada musim panas lalu dan menjadi antara pemain utama dalam membantu Chelsea menjulang kejuaraan liga pertama dalam masa lima tahun.

Chelsea, EPL, London

Artikel Lain