suria

Pok Nik Tidak Dapat Lelap Mata

Nik Shahrul Azim Abdul Halim

KOTA BARU: Pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim atau lebih mesra dengan panggilan Pok Nik memohon maaf kepada penyokong The Red Warrios (TRW) berikutan persembahan kurang memuaskan mereka pada perlawanan akhir Piala FA 2015 malam Sabtu.

Beliau berkata, walaupun segala perancangan telah dilakukan sebaik mungkin untuk menghadapi Lions X11, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kekalahan ini bukan apa yang kami semua inginkan dan sesiapa sahaja boleh lakukan kesilapan. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Saya minta maaf sekali lagi.

"Memang saya bersedia untuk bermain dan tiada gangguan emosi ketika perlawanan, tetapi apakan daya inilah bola sepak yang penuh dengan kejutan," katanya kepada Bernama.

Nik Shahrul Azim berterima kasih kepada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah yang memberi kepercayaan untuknya beraksi.

"Saya sudah berikan yang terbaik, tetapi kita tiada rezeki tahun ini. Kita ada banyak peluang untuk jaringkan gol malam tadi. Bagi diri saya,  saya tidak dapat lelapkan mata apabila fikirkan kekalahan dengan Lions XII," katanya.

Kelantan kalah 1-3 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.-- Bernama

Pok Nik, Red Warriors, Piala FA

Artikel Lain