suria

Ahmad Razif Desak FAM Siasat Keputusan Pengadil

Tindakan ganas penyokong-penyokong yang membakar ambulan selepas perlawanan.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta supaya menyiasat keputusan ofsaid ketika perlawanan separuh akhir kedua Terengganu bertemu Lions XII pada Sabtu malam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, skuad Terengganu mungkin akan boikot perlawanan seterusnya jika terbukti kedudukan pemain bukan dalam posisi ofsaid.

Keputusan tersebut menyebabkan mereka gagal mara ke final Piala FA.

Walaupun mencatat kemenangan 3-2 ke atas skuad dari Singapura itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, mereka terpaksa akur dengan kekalahan peraturan gol di tempat lawan.

Kekecewaan timbul apabila keputusan pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob menafikan jaringan keempat melalui tandukan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-90.

Mohd Amirul dikatakan berada posisi ofsaid. Dan jika jaringan itu dikira, Terengganu layak ke final.

"Saya mendesak FAM agar membuat siasatan dan jika tidak ada sebarang tindakan yang FAM ambil, saya tidak teragak-agak untuk melarang skuad beraksi pada perlawanan akan datang jika keputusannya memihak kepada pemain," jelas Ahmad Razif selepas menghadiri seminar di Universiti Sultan Zainal Abidin pada Ahad.

Beliau melahirkan rasa kecewa dengan keputusan yang dibuat pengadil.

"Saya kecewa dengan kualiti pengadil yang ditunjukkan dan harap FAM akan mengambil perkara ini dengan serius," jelasnya.

Jelas Ahmad Razif lagi, beliau sudah mengarah pasukan negeri ini agar membuat rayuan rasmi kepada FAM supaya menyiasat insiden tersebut.

"Jika perlu,adakan perlawanan semula," tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif turut kecewa dengan kerosakan harta benda stadium yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Terengganu selepas perlawanan.

Selepas perlawanan, hampir 15,000 penyokong merusuh termasuk merosakkan bas pasukan Lions XII serta turut membakar ambulan.

Pihak stadium memanggil Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan keadaan.

Terengganu, ofsaid, Lions XII, Ahmad Razif

Artikel Lain