suria

Nur Azmi Berundur Jika Kalah Pemilihan MHC

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Kanan Persekutuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad sedia berundur daripada sukan hoki negara sekiranya gagal dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden MHC, Rabu ini.

Nur Azmi bakal dicabar oleh bekas Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur, George Koshy bagi jawatan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu bagi memilih barisan Exco MHC yang baharu bagi penggal 2015-2018.

"Saya letak komitmen pada ahli gabungan dan serah kepada mereka sama ada ingin mengundi saya atau George Koshy sebagai Timbalan Presiden MHC.

"Kalau benar-benar George Koshy boleh bantu 16 ahli gabungan kita, saya sedia berundur tapi dengan syarat, setiap ahli gabungan sekurang-kurangnya mendapat RM50,000 setahun (untuk program pembangunan hoki negeri)," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Presiden Persatuan Hoki Selangor Datuk Seri Subahan Kamal sah menang tanpa bertanding jawatan Presiden MHC setelah tiada calon yang mencabar jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah memutuskan untuk melepaskan jawatan yang disandang sejak 2008 kerana mempunyai komitmen lain antaranya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Exco Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi benua Asia dari 2015-2019.

Dalam pada itu, Nur Azmi menegaskan MHC perlu mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan setiap individu yang menang pada pemilihan itu nanti, benar-benar melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Sebelum ini, kita tiada KPI kerana kita mendapat sokongan daripada Tuanku (Tengku Abdullah). Dah tiba masanya kita tidak berharap pada seseorang dan kita bergerak sebagai satu pasukan," katanya.

Nur Azmi turut menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa badan induk itu masih gagal menyelesaikan 'hutang tertunggak' mereka kerana terlalu mengharapkan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan dan tidak berusaha untuk mencari penaja terutamanya dalam menampung perbelanjaan skuad negara untuk menyertai kejohanan luar negara.

Jawatan Setiausaha dan Bendahari akan dilantik oleh presiden.

Senarai Penuh Calon MHC 2015-2018:

Presiden: Datuk Seri Subahan Kamal (Menang Tanpa Bertanding)     

Timbalan Presiden Lelaki (Satu Jawatan)    

1. Datuk Nur Azmi Ahmad    

2. George Koshy

Timbalan Presiden Wanita (Satu Jawatan)    

1. Dr S. Shamala    

2. K. Maheswari     

Naib Presiden: (Empat Jawatan Untuk Lelaki)    

1. Datuk Abd Rahim Md Ariff    

2. Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid    

3. Majid Manjit Abdullah    

4. Datuk Radhakrishnan Nair    

5. A. Vijaysankar    

6. G. Sathis Kumar    

7. Datuk Ow Soon Kooi     

Naib Presiden: (Dua Jawatan Untuk Wanita)    

1. Juriah Abdul Wahab Fenner    

2. Nik Zarah Nik Abdul Kadir    

3. S. Nagula 

Hoki

Artikel Lain