suria

Skuad Wanita Malaysia Muncul Juara Memanah Piala Dunia

PASUKAN memanah wanita negara (dari kiri) Nor Rizah Ishak, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Cham Nong berpelukan selepas merangkul pingat emas pertama negara. - Foto ihsan worldarchery.org

KUALA LUMPUR: Pasukan memanah wanita negara mencipta sejarah apabila meraih pingat emas pertama Malaysia pada Peringkat Pertama Piala Dunia Memanah 2015 di Shanghai, China, pada Sabtu.

Trio Malaysia terdiri daripada Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong mengetepikan cabaran gandingan kurang berpengalaman dari

Amerika Syarikat iaitu Crystal Gauvin, Angela Bradley dan Lexi Keller dengan 220-219 mata dalam saingan yang begitu sengit.

Skuad wanita Amerika Syarikat itu bermula cemerlang yang menyaksikan mereka tiga mata di hadapan selepas 'end' pertama, namun terikat dengan pasukan

Malaysia selepas 12 dan enam panahan pada kedudukan 111 dan 166 mata, masing-masing pada 'end' kedua dan ketiga.

Trio negara kemudian melakukan enam panahan terakhir pada bulatan sembilan mata untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada saingan Piala Dunia Memanah.

"Semangat berpasukan bersama-sama kita," kata Fatin Nurfatehah, demikian menurut laman sesawang kejohanan berkenaan, www.worldarchery.org/.

Skuad negara yang layak ke pusingan penyingkiran selepas muncul pasukan keempat terbaik pada pusingan kelayakan, menewaskan musuh ketat mereka pada

Sukan SEA iaitu Vietnam 220-212 dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2014 di Incheon, iaitu India 220-216 pada dua halangan pertama untuk menempah tempat ke separuh akhir menentang juara bertahan Eropah, Rusia.

Trio kebangsaan mengalahkan gandingan Rusia itu 219-215 di peringkat separuh akhir.

Skuad Rusia yang diketuai pemanah ketiga terbaik dunia, Natalia Andreeva meraih pingat gangsa selepas menewaskan juara bertahan dunia dari Colombia 233-229.

-- BERNAMA

Artikel Lain