suria

Kes Doping: Hukuman Penggantungan Muhammad Shah Dikurang 6 Bulan

KUALA LUMPUR: Panel Rayuan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Sabtu memutuskan untuk mengurangkan hukuman penggantungan terhadap pelumba trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dari 18 kepada 12 bulan.

Keputusan itu disahkan Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Amarjit berkata walaupun panel tersebut mengakui keputusan yang dibuat pada 10 April lepas itu adalah tepat, panel itu berpendapat terdapat kelewatan memaklumkan hasil ujian makmal itu kepada pelumba berkenaan dan timbul keraguan berdasarkan keterangan saksi.

Beliau berkata berikutan alasan-alasan tersebut, panel itu berpuas hati bahawa pengurangan penggantungan kepada 12 bulan itu mempunyai justifikasi yang mana ia akan berakhir pada 31 Mei ini.

"Dengan pengurangan penggantungan itu, Muhammad Shah Firdaus boleh meneruskan latihan dan kembali aktif dalam sukan berbasikal bermula 1 Jun," kata Amarjit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Doping PKBM. 

Muhammad Shah Firdaus, 19, didapati positif mengambil dadah terlarang jenis 'dexamethasone' hasil pemeriksaan terhadap air kencingnya semasa menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Kangar pada 31 Mei 2014.

Pada 10 April lepas, Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) menjatuhkan hukuman 18 bulan ke atas pelumba berkenaan dengan tempoh penggantungan itu berkuatkuasa mulai 31 Mei 2014 sehingga 31 Nov 2015.

Sementara itu, Amarjit mengingatkan kepada atlet agar sentiasa berhati-hati apabila mengambil sesuatu bahan makanan itu. 

-- BERNAMA
Basikal, Doping

Artikel Sebelum

Artikel Lain