suria

Pemain Import Mampu Bantu Tingkatkan Prestasi Skuad Kebangsaan - Khairy

Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kiri) dan Pengurus Negara Fitness First Malaysia Kurt Stocks menandatangani plak sebagai tanda memeterai satu usahasama antara FITMALAYSIA dan Fitness First pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Penglibatan pemain import dalam skuad pilihan Malaysia menentang pasukan kelab Tottenham Hotspur dilihat dapat meningkatkan prestasi pasukan negara bagi perlawanan persahabatan antarabangsa itu nanti.   

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamalludin berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun perlu memberi alasan kukuh kepada peminat bola sepak tanah air yang mungkin bersifat skeptikal terhadap penggunaan pemain import itu.   

"Kalau hantar pasukan kebangsaan sepenuhnya, pemain mendapat pendedahan...saya juga berpendapat jika bariskan satu, dua pemain import mungkin dapat memberi kesan yang baik kepada pasukan kebangsaan.   

"Jika hantar pemain import kita mengharapkan keputusan yang lebih baik,"katanya kepada pemberita selepas pelancaran satu program kerjasama dalam bidang sukan sempena Hari Sukan Negara pada Oktober ini.     

Media tempatan pada Selasa melaporkan FAM memberi lampu hijau kepada jurulatih Dollah Salleh untuk menggunakan lima pemain import liga tempatan bagi memperkuat pasukan negara pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, 27 Mei ini.

Dalam pada itu, Khairy meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim melepaskan jawatan presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang dimenanginya pada pemilihan Sabtu lepas.   

Beliau berkata sekiranya Shahidan tetap mahu memegang jawatan itu,  beliau perlu mendapat persetujuan jemaah menteri.   

"Sepatutnya dia tidak bertanding. Sebelum ini saya pernah menyokong beliau sebagai presiden Kesatuan Olaharaga Malaysia (KOM) kerana sebab-sebab tertentu.

Bagi saya ada individu lain yang lebih layak menerajui persatuan itu," katanya.

Shahidan mengalahkan pencabarnya Zainal Othman dari Negeri Sembilan dengan majoriti 34-6 pada Mesyuarat Agung Tahunan pada Sabtu bagi dua penggal.

Shahidan memegang jawatan itu sejak 1996.

Khairy Jamaluddin, Pemain Import

Artikel Lain