suria

Kemudahan Sukan Labuan Bakal Dinaik Taraf - Khairy

Khairy Jamaluddin.

LABUAN: Kementerian Belia dan Sukan sedang mempertimbangkan menaik taraf dan memperbaiki kemudahan sukan di Kompleks Sukan Labuan untuk pembangunan sukan di pulau bebas cukai itu.

Kolam renang, gelanggang tenis dan padang hoki adalah antara kemudahan yang sedang diteliti bagi pelaksanaan projek-projek itu.

Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan kepadanya bahawa struktur kolam renang tidak lagi selamat untuk latihan dan mengarahkan supaya ia ditutup serta-merta.

"Kami sedang mempertimbangkan membina kolam renang baharu atau melaksanakan kerja pembaikan seperti dimaklumkan oleh pengarah JKR kepada saya bahawa struktur kolam renang ini tidak lagi selamat," katanya kepada pemberita selepas melawat kompleks sukan berkenaan di sini, Khamis.

Beliau berkata, Bahagian Pembangunan kementerian akan membuat pemeriksaan dan menyediakan laporan komprehensif mengenai projek pembangunan yang dicadangkan itu.

"Pembinaan kemudahan ini akan mendapat perhatian segera daripada kementerian. Kami juga sedang mengkaji permohonan untuk menaik taraf gelanggang futsal di pulau ini," katanya.

Khairy berkata, pihaknya juga bercadang menubuhkan asrama belia di kompleks sukan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada perancangan dalam pelan induk kementerian.

Beliau berkata, dengan kemudahan sukan yang lebih baik, Labuan mempunyai peluang untuk melobi menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada masa akan datang.

"Kami akan memasukkan Labuan dalam senarai yang berminat untuk menjadi tuan rumah acara itu (Sukma) dan perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat kementerian," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain