suria

Malaysia Gagal Rangkul Kejuaraan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia gagal untuk merangkul buat pertama kali kejuaraan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia apabila kalah kepada pilihan kedua England.

Malaysia yang diketuai pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David kalah 1-2 dalam perlawanan sengit di Mark Sachvie Squash Centre, Ontario, Kanada pada Sabtu.

Pemain nombor ke-17 dunia Sarah-Jane Perry memberi mata pertama England apabila mengalahkan Delia Arnold 11-8, 11-9 dan 11-7 sebelum Nicol menyamakan kedudukan dengan menewaskan Laura Massaro, pemain nombor dua dunia 11-8, 11-9 dan 11-3.

Namun Low Wee Wern, walaupun menunjukkan permainan yang bersemangat kalah kepada pemain nombor lima dunia Alison Waters 8-11, 7-11, 11-8 dan 4-11 dalam perlawanan penentuan yang berkesudahan selama 69 minit.

Dengan itu England merangkul kejuaraan buat kali ketujuh selepas kemenangan pada tahun 1985, 1987, 1989, 1990, 2000 dan 2006.

Nicol berkata beliau berpuas hati dengan permainan pasukan Malaysia walaupun kalah dan mengucapkan tahniah kepada England.

"Wee Wern bertarung habis-habisan dan tidak mudah mengalah. Yang lain juga telah melakukan yang terbaik," katanya seperti dipetik laman web kejohanan www.wwt2014squash.com.

Pencapian terbaik Malaysia ialah menduduki tempat ketiga pada 2006, 2008, 2010 dan 2012.

Pasukan pilihan pertama Mesir yang kalah 0-2 kepada Malaysia di peringkat separuh akhir kalah kepada Hong Kong selaku pilihan keempat dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Skuasy, England

Artikel Berikut

Artikel Lain